FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Ogos bagi membantu siasatan kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu, suspek berusia 54 tahun tiba kira-kira jam 9.30 pagi di Mahkamah Majistret di sini memakai baju lokap.

Semalam, suspek ditahan di pejabatnya di Kuala Lumpur jam 3.07 petang menerusi operasi serentak dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Operasi serentak itu turut dijalankan di Melaka dan Kelantan serta menahan dua suspek lain yang juga penjawat awam dengan seorang daripadanya bergelar Datuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:48 AM