BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang buruh binaan Indonesia dijatuhi hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, bagi kesalahan merogol budak perempuan 11 tahun dan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa.

Hakim Datin Kunasundary Marimuthu membuat keputusan itu selepas tertuduh, Shamsul Ariffin Muhamad, 22, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan itu pada perbicaraan hari ini.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan merogol dan 10 penjara dan lapan sebatan bagi kesalahan melakukan seks luar tabii. Bagaimanapun tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak mulai 7 Mac tahun ini.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di bilik persalinan wanita di kolam renang sebuah kondominium di sini, kira-kira 4.30 petang, 6 Mac lalu.

“Kesalahan itu dilakukan dengan niat jahat. Tindakan kamu bertujuan memuaskan nafsu kebinatangan kamu, dan berikutan perbuatan kamu yang tidak berperikemanusiaan itu, hukuman setimpal harus dijatuhkan terhadap kamu.

“Tertuduh perlu diasingkan daripada orang awam, dan demi keadilan untuk keluarga dan mangsa, kamu akan dipenjarakan untuk tempoh yang lama," ,” kata Kunasundary sebelum menjatuhkan hukuman itu.

Dalam rayuannya, Shamsul Ariffin yang tidak diwakili peguam berkata, dia menyesal dengan perbuatannya itu serta sudah bertaubat dan menyara ibu dan bapanya di Indonesia.

Ibu mangsa memberitahu mahkamah, anaknya amat malu dengan kejadian itu menyebabkan dia kehilangan berat badan dengan banyak akibat tertekan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 6:14 PM