Kebakaran sebahagian bangunan kilang di Jalan Sungai Udang, Klang yang turut mengakibatkan van dan kereta musnah, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Klang: Sebahagian bangunan kilang di Jalan Sungai Udang, di sini, terbakar dan mengakibatkan van dan kereta musnah, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kota Raja dan Andalas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk mengawal kebakaran bangunan kilang terbabit yang dijadikan stor menyimpan barangan.

"Kebakaran membabitkan 50 peratus daripada keseluruhan bangunan, namun van dan kereta yang berada di lokasi musnah akibat kejadian itu.

"Api berjaya dikawal 4 petang dan tiada mangsa dilaporkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 5:36 PM