PEGUAM M Kulasegaran (kanan) berbincang dengan individu terlibat kes menyimpan binatang liar yang dilindungi. FOTO Supian Ahmad
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Dua individu didenda masing-masing RM2,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan membawa keluar burung Murai Batu dari premis yang didaftarkan di dalam lesen, dua tahun lalu.

Tertuduh Liew Sun Cheong,49, dan Lee Cheah Yeng,24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Kedua-dua mereka didakwa menyimpan burung Murai Batu iaitu sejenis hidupan yang dilindungi di premis lain daripada yang dinyatakan di dalam lesen dan kesalahan itu dilakukan di 118 Lorong Bercham 17, di sini, kira-kira 11 pagi 5 September 2014.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 46 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, empat lagi tertuduh itu Lee Kim Hoong, 52; Loo Yew Fai, 59; Pang Ah Chin, 66; dan Leong Liang Thye, 45, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama dan minta untuk dibicarakan.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 46 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala seorang lagi individu Lew Sek San, 43, pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki burung Murai Batu tanpa lesen yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Jika disabitkan kesalahan, Sek San boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Ikmal Hishan kemudiannya menetapkan 25 November sebagai sebutan semula kes manakala pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa yang juga Pengarah Perhilitan negeri Noor Alif Wira Osman.

Sun Cheong dan Cheah Yeng tidak diwakili peguam manakala kesemua mereka yang tidak mengaku bersalah diwakili peguam M Kulasegaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 5:06 PM