PENDARAHAN subaraknoid berlaku apabila salur darah di luar otak pecah. - Gambar hiasan
Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Membaca berita mengatakan wanita perokok mempunyai risiko lebih tinggi mendapat serangan strok membuatkan hati jadi kecut kerana setiap hari ramai antara kita yang terdedah kepada asap rokok yang sedikit sebanyak boleh mendekatkan kita kepada penyakit berkenaan.

Saat vape berada di puncak populariti, penulis sedaya mungkin mengelak daripada makan di restoran yang tidak menyediakan ruang khas bebas rokok. Asapnya yang berkepul-kepul, membuatkan hati berasa kecut kerana tidak tahu kesannya terhadap kesihatan.

Ketika itu juga beberapa klip video pendek memaparkan gadis manis bertudung dengan bangga menghisap vape dan menghembuskan asapnya bak nafas naga (seperti yang sering dipaparkan dalam filem) menjadi viral. Sampai sekarang, penulis belum menemui di mana ‘cantik’ dan ‘hebatnya’ wanita yang merokok atau menghisap vape?

Apa nak bising, itu hak individu, kata seorang teman. Benar, ia hak individu. Malah kerana hak individu inilah ada rakan yang meneruskan tabiat merokok ketika hamil dengan alasan doktor peribadinya tidak melarang dia berbuat demikian. Kesudahannya, dia keguguran. Mungkin keguguran itu tidak menyedihkannya sangat kerana dia sudah mempunyai tiga anak yang comel.

Namun sedarkah anda (terutama perokok), hak individu yang anda perjuangkan ini sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada orang sekeliling termasuk ahli keluarga? Asap rokok yang anda hembuskan boleh menjejaskan kesihatan orang lain, pada kadar lebih kurang sama dengan perokok.

Bagi wanita pula, adakah anda tahu perokok wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami pendarahan otak atau strok berbanding rakan seperjuangan lelaki?

Menurut laporan yang disiarkan di laman web berita kesihatan, HealthDay News, serangan strok yang dikategorikan dengan pendarahan di dalam selaput otak adalah satu perkara biasa dalam kalangan perokok khususnya wanita.

Berdasarkan kajian penyelidik Finland, strok jenis serius ini yang dipanggil pendarahan subaraknoid adalah lapan kali lebih lazim dalam kalangan perokok wanita yang menghisap satu kotak rokok sehari berbanding bukan perokok. Risiko perokok lelaki yang menghisap satu kotak rokok sehari mengalami strok jenis ini adalah tiga kali lebih tinggi berbanding bukan perokok.

Pendarahan subaraknoid berlaku pada salur darah yang terletak di luar otak. Ruang antara tengkorak yang menutupi otak (dipanggil subaraknoid) akan segera dipenuhi dengan darah. Pendarahan ini boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk secara mendadak, sakit tengkuk, mual dan muntah.

Adakalanya pesakit mengadu mengalami sakit kepala paling teruk yang pernah dialaminya. Peningkatan tekanan di luar otak secara mendadak ini juga boleh pesakit pengsan atau meninggal dunia.

Pendarahan ini boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa mengira usia termasuk golongan muda seperti remaja tetapi lebih kerap pada wanita.

Strok ini biasanya berlaku akibat pendarahan aneurisme di dalam otak. Aneurisme adalah satu kawasan lemah pada salur darah yang boleh pecah pada bila-bila masa.

Punca sebenar bagaimana aneurisme terbentuk masih tidak diketahui dengan tepat. Ia mungkin terjadi sejak lahir atau ketika kecil. Sesetengah orang boleh mempunyai beberapa aneurisme pada salur darahnya.

Pendarahan subaraknoid mewakili tiga peratus daripada keseluruhan kes strok, kata Pengerusi Neurologi di Pusat Pengajian Perubatan Miller, Universiti Miami, Dr Ralph Sacco.

Strok jenis ini biasanya berlaku pada golongan muda dan ia amat menyedihkan terutama jika dilihat dari aspek hilang keupayaan. Bahkan kadar kematian akibat strok ini adalah sekitar satu kematian dalam lima kes, katanya yang tidak terbabit dalam kajian berkenaan.

Itu bagi perokok tegar, bagaimana pula dengan wanita yang menghisap beberapa batang rokok saja sehari? Ya, tetap ada kesannya penyelidik mendapati ia boleh meningkatkan risiko sebanyak tiga kali untuk mengalami pendarahan otak begini.

Menurut ketua penyelidik dari Universiti Helsinki Dr Joni Lindbohm, tiada merokok yang selamat, baik beberapa batang atau sekotak sehari. Pilihan terbaik ialah jangan merokok dan jangan cuba-cuba menjadi perokok sosial kerana ia boleh mendorong anda untuk merokok lebih banyak.

Dalam kajian itu, Lindbohm dan rakan penyelidiknya mengumpulkan data daripada hampir 66,000 orang dewasa yang tersenarai dalam kaji selidik kebangsaan Finland sejak 1972. Peserta dipantau selama sekurang-kurangnya 21 tahun, sehinggalah mereka mengalami serangan strok pertama, mati atau masih hidup pada penghujung 2011.

Menurut penyelidik, dalam kalangan individu yang menghabiskan 11 hingga 20 batang rokok sehari, wanita perokok mempunyai kebarangkalian empat kali dan dua kali bagi lelaki untuk mengalami serangan strok ini.

Bagaimanapun, risiko ini boleh dikurangkan jika mereka berhenti merokok. Selepas enam bulan asap rokok tidak lagi meracuni badan, risiko mengalami pendarahan subaraknoid merosot mendadak sehingga sama seperti individu tidak merokok.

Pun begitu, penyelidik masih tidak pasti mengapa serangan strok jenis ini lebih lazim dalam kalangan perokok wanita, kata Lindbohm dan Sacco. Kaitan antara tabiat merokok dengan strok bukanlah satu perkara baru dan ia sudah diketahui sejak dulu.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara umumnya 15 juta penduduk dunia mendapat serangan strok. Daripada jumlah ini, lima juta kes berakhir dengan kematian dan lima juga lagi menyebabkan pesakit hilang keupayaan.

Walaupun hampir 75 peratus kes strok berlaku pada warga senior berusia 65 tahun, tetapi perlu ditekankan, semua orang berisiko untuk mendapat serangan ini termasuk remaja. Selepas usia mencecah 55 tahun, risiko mendapat strok berganda dalam setiap 10 tahun.

Tekanan darah tinggi menjadi penyumbang utama kepada 12.7 juta kes strok di seluruh dunia dan risiko akan meningkat sekiranya anda juga merokok.

Menurut Lindbohm, penemuan terbaru itu memberi mesej penting kepada semua orang khususnya kerajaan supaya mengambil langkah proaktif dan merancang strategi untuk menghentikan tabiat merokok dalam kalangan rakyatnya. Langkah ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan beban penjagaan kesihatan akibat strok.

“Merokok dan tekanan darah tinggi adalah dua faktor risiko utama untuk mendapat strok yang boleh diubah. Walaupun risiko mendapat strok secara umumnya meningkat dengan pertambahan umur, tetapi dengan mengawal faktor risiko ini, kita dapat mengurangkan serangan strok pada golongan muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:24 AM