ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. FOTO ihsan Bomba
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Lahad Datu: Wanita maut, tiga lagi parah manakala bayi 11 bulan terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas di Jalan Sandau, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, pemandu Sabturina Mohd, 31, meninggal dunia dan tiga lagi Fatimah Dahlan, 28; Nor Selehah Abd Said, 11, dan adiknya Nor Hafizah, 9, parah bagaimanapun adik lelaki mereka Abd Razif terselamat dalam kejadian itu.

Ketua cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Katizah Rahaban berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.03 petang dan tujuh anggota dari Balai Bomba Lahad Datu dikejar ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan kenderaan dinaiki lima mangsa terbabas sendiri di bahu jalan berkenaan.

"Seorang bayi lelaki terselamat dalam kejadian itu dan tiga yang lain parah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dikejar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pemandu berjaya dikeluarkan pihak bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katizah berkata, operasi ditamatkan pada 7.15 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 9:51 PM