TRUMP ketika berkempen di Sunrise, Florida baru-baru ini. - EPA
AFP

Washington: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Demokrat, Hillary Clinton kelmarin menyiarkan penyata cukai pendapatannya pada 2015 dan mengkritik lawannya dari parti Republikan, Donald Trump kerana tidak berbuat demikian.

Hillary dan suaminya yang juga bekas Presiden AS, Bill Clinton melaporkan pendapatan mereka sebanyak AS$10.6 juta (RM42.61 juta) pada tahun lalu.

Menurut dokumen yang disiarkan di laman sesawang kempen Hillary, pasangan itu membayar cukai pendapatan persekutuan berjumlah AS$3.6 juta (RM14.47 juta).

Sepanjang karier politik pasangan berkenaan, mereka menyiarkan semua penyata cukai pendapatan sejak 1977.

Parti Demokrat sering kali merujuk tindakan itu sebagai bukti ketelusan pasangan berkenaan ketika mereka berkuasa.

Punca pendapatan utama Clinton pada 2015 melalui syarahan berbayarnya yang mencecah AS$5.2 juta (RM21 juta) manakala Hillary memperoleh AS$3 juta (RM12.1 juta) melalui jualan bukunya yang diterbitkan Simon & Schuster.

Calon Naib Presiden dari Demokrat, Tim Kaine kelmarin juga menyiarkan penyata cukai pendapatannya sejak 10 tahun yang lalu.

“Trump bersembunyi di belakang alasan palsu dan membelakangi janjinya sendiri untuk mendedahkan penyata cukainya,” kata pengarah komunikasi kempen Hillary, Jennifer Palmieri.

“Apa yang dia mahu sembunyikan?” soalnya.

Trump setakat ini enggan mendedahkan pendapatannya dengan alasan penyata cukai pendapatannya sejak beberapa tahun lalu sedang diaudit.

Jurucakap kempen Trump mendakwa langkah Hillary menyiarkan penyata cukainya itu adalah cubaan untuk mengalihkan isu yang lebih penting.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:11 AM