Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Satu bentuk kempen sosial menarik apabila Outbac Broga iaitu kem berorientasikan aktiviti luar dan lasak mengumpul dana menerusi kutipan RM10 untuk penyertaan hampir 10 aktiviti ditawarkan di situ.

Kem di Kampung Sri Broga itu lengkap dengan fasiliti sukan air, tembok memanjat serta cabaran berhalangan menyebabkan karnival amal berlangsung sehari itu sukar dilepaskan peminat sukan lasak.

Bayangkan saja seawal jam 9 pagi stesen menempatkan aktiviti ‘flying fox’ dipenuhi pengunjung yang beratur panjang mahu merasai keterujaan meluncur di udara melintasi tasik mini kem terbabit.

Turut terngiang-ngiang jeritan peserta gayat melepasi cabaran membabitkan ketinggian seperti memanjat tembok mahupun ‘cliff of faith’ iaitu terjunan bebas dari ketinggian lima meter sebelum mendarat dengan selamat.

Cuba aktiviti lasak

Pengarah program, Dr Yap Heng Kai menjangka karnival berkenaan dijangka meraih kutipan RM10,000 untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan terpilih dalam masa sama penyumbang menerima manfaat dengan membabitkan aktiviti riadah.

“Setiap stesen kami sediakan untuk masyarakat luar sertai mempunyai panduan serta amalan keselamatan yang ketat. Kami mempunyai jurulatih bertauliah untuk membantu mereka mencuba setiap aktiviti berkenaan.

“Aktiviti berisiko tinggi seperti ‘flying fox’, memanjat dinding mahupun ‘cliff of faith’, kami tempatkan sukarelawan mahupun jurulatih berkeupayaan dari segi keselamatan dan teknikal.

“Ini penting kerana dalam karnival seperti ini kami mempunyai kumpulan pengunjung pelbagai dan penyertaan ramai. Dalam sudut lain kami melihat aktiviti ini dapat menggalakkan gaya hidup lebih sihat.

“Lihat saja ada datang dengan keluarga, rakan dan mereka kali pertama mengenali aktiviti luar seperti sukan memanjat mahupun merentasi laluan berhalangan. Diharap mereka akan lebih kerap membabitkan diri dalam aktiviti luar selepas menyertai karnival ini,” katanya.

Cabaran baru

Bagi penuntut Kolej Universiti Linton Mantin Negeri Sembilan Nur Liyana Adnan, dia teruja dengan aktiviti ditawarkan dalam karnival amal Outbac Broga.

Meskipun mengetahui mengenai aktiviti ditawarkan dalam program sehari itu, dia tidak pernah berpeluang melakukan aktiviti lasak secara langsung sebelum ini.

“Saya cuma pernah dengar aktiviti ‘flying fox’ atau laluan berhalangan, namun saya tidak pernah berpeluang melakukannya. Malah lebih teruja lagi apabila aktiviti disertai saya dan rakan bermula di stesen ‘cliff of faith’.

“Dari bawah nampak rendah namun apabila berdiri di atas tiang dan perlu melompat, gayat mula terasa. Mujurlah ada rakan dan jurulatih giat memujuk serta memberi semangat, saya dapat mengatasi ketakutan itu.

“Selain itu saya teruja mencuba aktiviti ‘flying fox’. Tengok saja menara pelepasan perlu dipanjat peserta sangat tinggi, saya tidak lagi berasa berdebar sebaliknya lebih teruja. Terutama melihat penganjur begitu menitikberatkan keselamatan membuatkan saya lebih yakin mencuba setiap aktiviti ditawarkan,” katanya.

Kadar bayaran berpatutan

Menurut pelajar dari Kemaman, Terengganu, Muhd Ashraf Saufi, kaedah diketengahkan penganjur membuka peluang kepada orang ramai dengan kadar bayaran RM10 untuk semua aktiviti sangat berpatutan.

“Saya dan rakan tidak sangka dengan bayaran RM10 kami boleh mencuba pelbagai aktiviti berspesifikasi tinggi contohnya sukan memanjat tembok mahupun ‘flying fox’. Biasanya aktiviti ini ditawarkan dalam pakej dan memerlukan pesertanya membayar kadar lebih tinggi.

“Tetapi kelainan dalam karnival amal ini apabila tidak saja dapat mencuba aktiviti lasak kami juga menyumbang dana kepada rumah kebajikan terpilih. Itu bonus buat kami selain dapat berseronok dengan kawan,” katanya.

Latih keyakinan diri

Buat pelajar kolej swasta Ganarubinie Pankkiraji menyertai aktiviti seperti ini di hujung minggu lebih manfaat.

“Saya rasa ia sesuatu bagus dan perlu diteruskan penganjur untuk menarik golongan tidak meminati acara luar jatuh minat dengan aktiviti seperti ini.

“Malah pengalaman saya sendiri mempunyai skeptikal acara sebegini tidak selamat dan memerlukan kemahiran tertentu mula berfikiran terbuka apabila melihat rakan lain melakukan dan berjaya melaksanakan dengan baik.

“Saya seorang sangat takutkan air dan tidak pandai berenang. Tetapi dalam aktiviti ini dengan panduan kru karnival dan pemakaian jaket keselamatan membuatkan saya berani mendekati sukan rekreasi air seperti kayak mahupun ‘surf paddle’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:07 AM
TIANG halus dan tinggi perlu dipanjat peserta.
ATASI gayat dengan cabaran ‘Cliff of Faith’.
PANJAT tembok antara aktiviti yang sukar dilepaskan.
SEISI keluarga menyumbang sambil beriadah.
KANAK-KANAK juga tidak melepaskan peluang.