BENTUK dinamik dan maskulin.
KUASA mantap untuk daki bukit.
KEEMPAT-empat roda berfungsi sepenuhnya meredah laluan lasak.
RUANG kabin kemas dan premium.
METER kelajuan.
MULTIMEDIA R-Link 2 mesra pengguna.
RUANG luas untuk mengisi barangan.
Erywan Norshal (Penulis mengikuti pandu uji Renault Koleos di ParisPerancis dan baru-baru ini)
erywan@hmetro.com.my


Segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz besar menerusi model Renault Koleos dijangka dilancarkan di negara ini bulan depan dengan harga RM172,800.

Andai dilihat pada harganya, mungkin ada yang mengatakan mahal tetapi sekiranya dinilai menerusi aspek teknologi dan ciri baharu tersedia, ia boleh dikatakan sangat kompetitif.

Bagi pasaran tempatan ia akan memberi saingan kepada beberapa model SUV sedia ada membabitkan Mazda CX5, Honda CR-V, Nissan X-Trail, Kia Sorento serta Hyundai Santa Fe.

Jentera dipasang di Korea Selatan ini menggunakan platform modular ‘Common Module Family’ yang turut digunakan pada model Renault Kadjar dan Nissan X-Trail, dengan ciri ukuran panjang mencecah 4.673 meter (m), lebar (1.842m) serta ketinggian (1.678m).

Tapak roda sepanjang 2.705m disifatkan sebagai paling panjang dalam kelasnya sekali gus menawarkan ruang dalaman luas sebagai SUV segmen D.

Sebagai jentera segmen SUV, ruang kargo adalah ciri penting, justeru model ini memiliki kapasiti luas sehingga 1,690 liter sekiranya kerusi bahagian kedua diubah secara mendatar.

Malah, sudut bukaan daun pintunya juga lebih besar pada bahagian hadapan serta belakang yang masing-masing mencatatkan 70 serta 77 darjah untuk memudahkan penumpang atau pemandu keluar masuk kabin.

Bagi mengenalinya, penulis diberi peluang memandunya di Paris, Perancis baru-baru ini dengan disajikan laluan lasak dan jalan raya biasa.

Renault Koleos menggunakan enjin 2.5 liter empat silinder menyalurkan 170hp dengan tork puncak sehingga 233Nm serta padanan transmisi automatik X-Tronic.

Sekiranya dilihat secara kasar, penulis seolah-olah tidak percaya bahawa ia boleh melepasi halangan laluan lasak. Namun, selepas menukar mod pacuan empat roda, jentera ini mudah mengharungi laluan berpasir atau berbukit.

Tenaga yang dibekalkan keempat-empat roda cukup mantap bagi memudahkan pemanduan menaiki bukit tanpa perlu takut, cuma jentera ini tidak dilengkapi sistem kawalan menuruni bukit kerana perlu menekan brek secara manual.

Di jalan raya biasa, gaya pengendaliannya seolah-olah memandu kereta segmen D dan berasa selesa kerana rasa kurang membuai biarpun ia sebuah kenderaan yang tinggi.

Posisi tempat duduknya juga ditinggikan bagi menawarkan pandangan lebih jelas, selain gaya pengendaliannya sangat responsif ketika memasuki selekoh.

Bagaimanapun, prestasi sebenar jentera ini tidak dapat diuji sepenuhnya selepas melalui jalan kampung serta lebuh raya yang terbatas dengan had laju ditetapkan. Jentera yang bakal memasuki pasaran Malaysia ditawarkan sistem multimedia R-Link 2 apabila kelihatan sebuah tablet diletakkan pada papan pemuka jentera berkenaan.

Sistem multimedia R-Link 2 boleh dikawal dengan menggunakan jari seperti tablet peribadi anda yang memaparkan navigasi, radio dan ciri bantuan pemandu.

Ruang dalamnya tampak kemas dengan menggunakan material tahan calar selepas menerapkan konsep kereta salon keluarga bersaiz besar. Material lembut digunakan pada papan pemuka dan panel pintu bagi memberi ruang kabin rupa premium serta memberi keselesaan kepada penggunanya.

Keselesaan ruang kabin boleh dipertingkatkan dengan lampu kabin LED pilihan warna berbeza membabitkan hijau, biru, kuning, merah atau violet bergantung pada mood pemandu atau penumpangnya.

Bagi penampilannya, ia diinspirasi daripada rangkaian model Renault yang lebih mewah dengan gaya sama seperti kereta sedan Renault Talisman. Ia juga menerapkan imej baharu Renault dengan paparan logo lebih besar, selain padanan lampu bentuk ‘C’ pada bahagian hadapan dan belakang.

Ciri itu membuatkan identiti lebih terserlah di jalan raya untuk memudahkan pengguna lain mengenali jentera Renault.

Pada masa sama, ia dilengkapi dengan lampu LED sepenuhnya apabila 20 peratus lebih berkuasa berbanding lampu halogen untuk menawarkan pandangan terbaik pada waktu malam.

Keupayaan serta ketahanan jentera ini tidak boleh dipertikaikan lagi selepas diuji secara ekstensif sejauh 1.1 juta kilometer di pusat ujian Renault. Dalam ujian itu, 20 unit kenderaan praproduksi juga mengharungi ujian lebih satu juta kilometer untuk mencari potensi kerosakan memandangkan ia disasarkan ke pasaran lima benua membabitkan pelbagai cuaca serta permukaan laluan berbeza.

INFO

RENAULT KOLEOS

- ENJIN: 2.5 liter empat silinder, 16 injap dengan aci sesondol atas berkembar

- KUASA MAKSIMUM: 170hp pada 6,000rpm.

- TORK KUASA MAKSIMUM: 233Nm pada 4,000rpm.

- TRANSMISI: Automatik X-Tronic

- CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan brek, bantuan daki bukit dan agihan tenaga brek elektronik

- HARGA: RM172,800 tidak termasuk insurans untuk pendaftaran peribadi sahaja

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:06 AM