IHSAN APPM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Kota Tinggi: APMM Daerah Maritim Tanjung Sedili, dekat sini, menahan kapal dagang bersama sebelas kru.

Ini berikutan pihak itu didapati gagal melaporkan ketibaan ketika berlabuh di Perairan Pengerang, semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud, berkata kapal dan kru ditahan ketika anggota bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan di perairan itu pada 5 pagi.

"Kapal ditemui sedang bersauh di kedudukan 10.7 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar.

“Kami kami menghampiri kapal terbabit untuk pemeriksaan lanjut dan didapati ia tidak melapor ketibaan kepada Pengarah Laut Malaysia, bersauh tanpa kebenaran dam tidak membayar dius api," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kapal itu didaftarkan di Malabo, Republik Guinea, membawa sebelas kru warga Indonesia berusia 20 hingga 60-an.

Amran berkata, kapal itu boleh didakwa mengikut Seksyen 449 Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Dius Api 1953 iaitu gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 8:41 PM