AFGAN.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Kerap mengadakan konsert di negara ini, Afgan mengakui agak tertekan kerana pastinya peminat mengharapkan kelainan daripadanya.

Bintang sensasi Indonesia berusia 27 tahun itu akan kembali ke negara ini untuk menjayakan konsert Afgan ‘Sides’ Live in Malaysia 2016 sempena pelancaran album terbarunya berjudul Sides di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 3 September ini.

Janji Afgan atau nama sebenarnya Afgaansyah Reza, sebagaimana album terbarunya itu yang memaparkan kematangan dirinya apabila turut bertindak selaku penulis lirik untuk semua lagu yang terkandung dalam album itu, dia juga akan memberikan persembahan terbaik dalam konsert itu nanti.

Dia terkenal dengan lantunan suara yang hebat menerusi lagu seperti Katakan Tidak, Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa dan Knock Me Down.

Afgan berkata, persembahannya nanti akan dibahagi kepada tiga segmen iaitu rock & roll, ‘honourable’ atau lebih bersifat emosi dan ketiga, ‘urban’ serta ‘moderate’.

“Sebagaimana pemahaman erti Sides itu sendiri, saya akan tonjolkan diri saya daripada pelbagai sudut berbeza terutama kematangan dan kedewasaan saya sebagai penyanyi yang kini turut mencuba mencipta lagu dan menulis lirik. Semua lagu dalam Sides amat peribadi buat saya.

“Sepanjang hampir dua jam konsert itu berlangsung saya akan menyanyikan 22 lagu daripada album terdahulu termasuk lima lagu daripada album Sides.

“Saya juga akan membawa 30 pemuzik dari Indonesia. Saya akan pastikan Dewan Merdeka yang gah itu benar-benar terisi,” katanya.

Selain itu, dia juga akan menyelitkan segmen tribute untuk artis Malaysia yang diminatinya namun untuk siapa dan lagu apa, masih dirahsiakan.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari www.ticketcharge.com.my.

Lagu SonaOne terbaik

Bagi menghangatkan lagi malam konsert itu, Afgan turut menampilkan rapper terkenal tanah air iaitu SonaOne sebagai penyanyi undangan.

SonaOne turut mencipta dua lagu dalam album Sides iaitu Roller Coaster dan X selain turut menyumbangkan suara dalam lagu X.

“Afgan memang sangat berbakat. Saya sangat puas hati dengan hasil kedua-dua lagu itu,” katanya.

Sebelum berlangsungnya konsert di Malaysia, terlebih dulu Afgan mengadakan konsert di Indonesia iaitu

di Medan, Bandung, Surabaya dan Balik Papan.

“Selepas selesai konsert di Malaysia, saya akan bertemu peminat di Singapura pula,” katanya.

Menurut Afgan, di ketiga-tiga negara nama konsertnya sama kerana dia mahu mempromosikan album terbarunya itu.

“Cuma yang membezakan dari segi pemilihan lagu kerana peminatnya berbeza dan meminati lagu yang berlainan juga. Saya juga kena banyak tampilkan gimik,” katanya.

Meskipun penat, mesti menjaga hati peminat dan ‘moodnya’ sendiri dalam memastikan kejayaan konsertnya, tiada istilah berehat baginya.

“Ketika saya menyambung pengajian di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur selama tiga tahun pada 2011 saya sudah di anggap ‘berehat’ dalam bidang nyanyian dan sekarang tidak boleh berehat lagi,” katanya.

Beri lagu kepada Rossa

Menyingkap percubaan melebarkan bakatnya dalam bidang penciptaan lagu, dia memberikan lagunya berjudul Sisakan Hatimu kepada Datuk Rossa.

“Ketika ilham mencipta lagu itu datang, saya teruskan teringatkan Rossa dan langsung memberikan lagu itu kepadanya dan dia juga menyukainya.

“Lagu itu disisipkan dalam album terbaru Rossa. Ada juga artis lain yang minta lagu daripada saya. Taufik Batisha juga suka lagu saya,” katanya yang pernah digosipkan bercinta dengan Rossa, namun mereka menafikannya.

Dalam perkembangan lain, Afgan juga baru menghasilkan filem pendek mengenai dirinya.

Ketika ditanya sama ada dia mahu menjadikan karyanya itu dalam bentuk filem biasa, katanya, dia belum bersedia dan perlu banyak belajar lagi.

Dia juga bersama rakan artis lain, Ria Irawan, Ade Paloh, Julia Perez dan Aming Sugandhi menerbitkan filem pendek berjudul Gila Jiwa yang kini ditayangkan di Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:24 AM