KELIHATAN anggun dan bergaya.
GAUN LABUH menggunakan fabrik kapas berbunga kecil tampak manis digayakan wanita. Sesuai untuk acara kasual.
BLAUS kembang dipadankan skirt selain untuk wanita berbadan comel juga mampu digayakan wanita mengandung.
KEBARUNG moden bercorak sederhana sesuai digayakan untuk musim perayaan
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Kapas sinonim dikaitkan dengan fabrik selesa dan sering dijadikan rekaan busana tradisional seperti kurung, kebarung atau kebaya. Namun revolusi dalam fesyen menjadikan fabrik ini mengalami perubahan apabila pereka semakin bijak dan berani mengguna kapas dalam penghasilan busana berpotongan gaun labuh dan pendek, baju kurung moden dan blaus dipadankan skirt.

Menggunakan nama Mek Kembang Cotton, bagi pemilik jenama yang memulakan perniagaan di Kuantan Pahang, Alia Najihah Alias, 24, inspirasi dalam penghasilan busana berasaskan kain kapas dikekalkan sebagai mewarisi perniagaan ibu sejak turun-temurun.

Alia mengakui, dia sendiri sangat meminati kain kapas yang disifatkan mempunyai ciri keselesaan, elegan, lembut dan versatil terutama pada coraknya yang unik.

“Biarpun ramai beranggapan kain kapas hanya sesuai dijadikan baju kurung atau kebaya, namun saya mengambil cabaran dengan mengetengahkan pelbagai potongan menggunakan fabrik kapas. Antara yang mendapat perhatian adalah baju kurung moden, gaun labuh dan pendek serta blaus dipadankan skirt,” katanya.

Jelas Alia, semua busana masih mengekalkan ciri tradisional, namun dikemaskan dengan unsur moden menerusi jahitan zip pada dada dan tangan bagi memudahkan ibu menyusu dan mesra wuduk.

Begitu juga dengan kurung moden dan kurung Kedah tanpa pesak menjadikannya tampak moden dan elegan digayakan. Menariknya semua corak fabrik khas untuk pelanggan Mek Kembang Cotton saja. Jadi setiap padanan tampil eksklusif. Warna pilihan bukan saja pastel sebaliknya merangkumi rona terang seperti merah, hijau, biru, kuning dan merah jambu yang bercorak dan polos.

“Fabrik kapas terkenal dengan corak terang berkonsepkan unsur flora dan fauna. Ada juga corak abstrak dengan rona hitam dan putih. Semua corak ini hasil rekaan saya sendiri sudah pasti tidak dijual tempat lain.

“Malah bagi mengekalkan nilai eksklusif, setiap rekaan ditawarkan dalam tempoh tertentu saja dan tidak akan diulang reka. Ini bagi menjadikan pelanggan berpuas hati kerana busana mereka tidak sama dengan yang lain,” katanya.

Tempahan 24 jam

Selain himpunan sedia dipakai yang dijual di butik di Kuantan dan Bangi Gateway, Mek Kembang Cotton turut menyediakan perkhidmatan tempahan baju dengan memilih koleksi fabrik kapas yang turut disediakan di sana.

Menariknya tempahan busana mampu disiapkan dalam tempoh 24 jam bergantung kepada keperluan pelanggan. Harga untuk tempahan bermula RM180 ke atas termasuk harga kain iaitu polos atau bercorak.

“Saya menyediakan khidmat tempahan baju kerana merasakan tidak semua wanita boleh menggayakan busana sedia dipakai kerana mungkin tidak sesuai dengan bentuk badan mereka. Ramai di antara mereka teringin mengenakan padanan kain kapas termasuk kebaya atau kebarung tetapi mungkin memiliki dada lebar atau berpinggul besar.

“Dengan mengambil ukuran pelanggan saya dapat menyelesaikan masalah mereka untuk kelihatan anggun dan cantik terutama pada musim perayaan atau majlis keraian,” katanya yang turut mengambil tempahan ibu dan anak untuk gaya sedondon.

Berharap dapat meneruskan legasi fesyen kapas pada masa akan datang, Alia menyatakan walaupun terdapat pelbagai rekaan seperti jubah dan gaun di pasaran dia tidak berhasrat menukar konsep sebaliknya ingin terus memberikan tumpuan kepada fabrik kapas dengan melakukan perubahan yang lebih pelbagai dan moden.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari Instagram mekkembangcotton atau berkunjung ke butik di Kuantan dan pusat beli-belah Bangi Gateway yang terletak di Seksyen 15 Bangi Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:11 AM