Hafiz Ithnin
bisnes@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pembangunan projek transit aliran massa (MRT) yang dibangunkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) kini rancak dengan fasa pertamanya membabitkan laluan Sungai Buloh-Kajang kini hampir siap dan dijangka dapat beroperasi pada Disember ini.

Fasa kedua projek pengangkutan awam itu juga sudah dimulakan yang mana ia membabitkan pembinaan 19 stesen lagi antara Semantan ke Kajang dan dijangka beroperasi pada Julai 2017.

Pada masa sama, pembinaan projek pengangkutan awam itu juga bakal menyaksikan pembinaan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang memberi kemudahan kepada orang awam yang tinggal di kawasan itu untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Mengikut definisi Jabatan Perancangan dan Desa, TOD adalah sesuatu kawasan terletak 400 meter radius dengan pusat pengangkutan awam yang memberi banyak manfaat kepada pembeli hartanah daripada segi pelaburan.

Jika dilihat kepada projek TOD yang dibangunkan sebelum ini, ia sememangnya menjadi rebutan kebanyakan syarikat pemaju hartanah kerana projek kediaman atau pembangunan bercampur berdekatan dengan kemudahan awam memberi banyak nilai tambah dari segi harga.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, bagi projek MRT yang kini di peringkat akhir untuk disiapkan dalam fasa pertama dijangka mempunyai sekurang-kurangnya tiga projek TOD dan salah satunya terletak di Titiwangsa.

Beliau berkata, projek TOD itu boleh memberi manfaat daripada segi menarik kehadiran lebih ramai pengguna untuk menggunakan MRT pada masa depan dan juga menjadikan lokasi itu sebagai pusat aktiviti ekonomi yang rancak.

“Buat masa ini, kita masih belum mempunyai sebarang kerjasama dengan pemaju hartanah untuk membangunkan TOD di fasa pertama dan tender akan dibuka pada awal tahun depan. Pihak kami juga menerima banyak kertas cadangan dari pemaju.

“Daripada segi keluasan tanah, ia tidak kurang 2.02 hektar dan merangkumi pelbagai projek hartanah termasuk kediaman dan buat masa ini terlalu awal untuk membincangkannya,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah jenis kediaman dalam segmen mewah dibangunkan di kawasan TOD, beliau berkata, ia pelbagai dan terdapat juga projek kediaman mampu milik mungkin dibina.

Katanya, pihaknya sentiasa menyokong pendirian kerajaan untuk memastikan rakyat terus dapat menikmati rumah mampu milik termasuk di kawasan TOD yang akan dibangunkannya.

Sementara itu, penganalisis hartanah, Tuan Bri Hashim melihat projek pembangunan TOD sememangnya memberi kesan kepada peningkatan harga hartanah sekitarnya tetapi bukan meningkat dalam peratusan besar terutama bagi projek MRT.

Ini kerana, berbanding tiga tahun lalu, projek pengangkutan awam kereta api menjadi salah satu faktor utama kenaikan harga kediaman terutama rumah sekunder yang berhampiran dengannya.

Beliau berkata, ketika ini, terlalu banyak pilihan orang ramai untuk membeli kediaman berhampiran dengan perkhidmatan kereta api sedia ada tetapi tidak menolak kemungkinan projek perumahan di MRT boleh meningkat naik sekiranya mempunyai produk hartanah yang baik serta mendapat permintaan ramai.

Katanya, harga kemungkinan juga boleh meningkat sekitar 20 peratus di kawasan berhampiran TOD terutama bagi rumah sekunder manakala, bagi harga sewa juga dijangka naik sekitar lima hingga 10 peratus.

“Bagi pembeli yang ingin menjadikan kediaman berhampiran MRT sebagai tempat tinggal dan bukan untuk pelaburan, ketika ini adalah waktu terbaik untuk mereka membeli namun bagi pelabur, mereka perlu berhati-hati serta tidak membuat keputusan tergesa-gesa membeli hanya disebabkan faktor kemudahan awam semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:04 AM