Sepang: Selepas beraksi cemerlang dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2014 menentang Vietnam kelmarin, Farizal Marlias sudah memikirkan mengenai aksi final pada 17 dan 20 Disember ini.

Farizal yang bakal beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim depan, mengakui menjadi impian setiap pemain bola sepak bermain di perlawanan akhir mana-mana kejohanan.

“Saya rasa setiap pemain mahu bermain di perlawanan akhir, begitu juga saya. Bagaimanapun, terpulang kepada jurulatih Dollah Salleh,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Kelmarin, Farizal diturunkan buat kali pertama dalam saingan Piala AFF dengan melepaskan dua gol ketika Harimau Malaya menumpaskan Vietnam pada separuh akhir kedua 4-2 (agregat 5-4).

“Jika diberikan tugas beraksi perlawanan akhir nanti, saya akan memberikan yang terbaik,” kata bekas penjaga gol Shahzan Muda, Perlis, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor itu.

Pemain berusia 28 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong skuad kebangsaan terutama yang sanggup datang memberi sokongan di Hanoi, sekali gus menaikkan lagi semangat mereka untuk menumpaskan Vietnam.

“Saya gembira dengan kehadiran penyokong yang datang semalam (kelmarin), begitu juga penyokong di tanah air yang mendoakan kejayaan skuad Malaysia,” katanya.

Farizal turut berada dalam skuad Piala Suzuki 2012 namun perjuangan pasukan bimbingan Datuk K Rajagobal itu hanya setakat separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:11 AM