JONG Ho dari THT (kanan) meraikan jaringannya, semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Terengganu Hockey Team (THT) mara ke final Piala TNB dengan bergaya menerusi agregat 10-4 selepas membelasah Maybank 8-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Dengan kemenangan itu, THT bakal membuat perhitungan dengan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada aksi final, Ahad ini.

KLHC di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menewaskan TNB menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 untuk menjadikan agregat 3-3.

Kemenangan THT semalam menebus kekecewaan mereka pada separuh akhir pertama apabila dikejutkan Maybank dengan kekalahan 2-3 di tempat sendiri.

Ketua jurulatih THT Sarjit Singh nyata gembira dengan kemenangan itu tetapi tidak menjangka anak buahnya mampu mencatatkan kemenangan besar.

“Walaupun tewas pada perlawanan pertama, kami memang sentiasa yakin mampu mencipta kemenangan pada perlawanan timbal balik.

“Tetapi saya tidak menjangkakan kami dapat mencatatkan kemenangan sebesar ini. Pujian wajar diberikan kepada setiap pemain,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Pemain import Korea Selatan Jang Jong Hyun cemerlang apabila meledak hatrik menerusi pukulan sudut penalti minit ketujuh, lapan dan 15.

Turut melakar hatrik ialah penyerang sensasi negara Faizal Saari iaitu pada minit ke-35, 44 dan 60.

Pemain veteran Ismail Abu turut menyumbang gol minit ke-13, begitu juga dengan Seo Jong Ho pada minit ke-30.

Gol saguhati Maybank hanya diperoleh Jiwa Mohan menerusi gol padang minit ke-55.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:10 AM