Sanjeevan (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas tuduhan memeras ugut seorang ahli perniagaan pada 2013. FOTO Nazirul Roselan
Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Temerloh: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas tuduhan memeras ugut seorang ahli perniagaan pada 2013.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memeras ugut Chan Leong Kwan, 40 dengan meminta wang berjumlah RM1,500 atau berdepan risiko tidak dapat meneruskan perniagaannya.

Sanjeevan didakwa melakukan perbuatan itu di alamat 25-27-29 Tingkat Atas, Jalan Dagangan 8, Pusat Komersial Triang, dekat Bera pada jam 9.45 malam, 1 Julai 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh diwakili peguam, Ravin Jay, manakala pendakwaan diketuai Pegawai Pendakwa, Inspektor K Kishornath.

Majistret Najwa Hashim kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dan menetapkan kes disebut semula pada 7 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 2:50 PM