MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Kuala Nerang: Kementerian Pendidikan menangguh aktiviti kokurikulum di luar kelas membabitkan air susulan kematian seorang guru yang meninggal dunia akibat penyakit leptospirosis atau kencing tikus.

Bagaimanapun aktiviti kokurikulum lain berjalan seperti biasa.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, aktiviti kokurikulum sekolah membabitkan air seperti sungai, air terjun dan lokasi berisiko dijangkiti penyakit kencing tikus ditangguh berkuatkuasa serta merta.

Menurutnya, Ketua Pengarah Pendidikan juga diminta membuat kajian berhubung penganjuran membabitkan aktiviti kokurikulum di luar sekolah.

Harian Metro melaporkan seorang guru Mohd Yusri Yaccob, 42, yang kritikal akibat penyakit leptospirosis atau kencing tikus meninggal dunia jam 8.05 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Mangsa mengikuti aktiviti Pendidikan Luar Murid Sekolah Menengah 1Malaysia peringkat negeri pada 15 hingga 20 Julai lalu di Pusat Kokurikulum Daerah Baling (Kem Jerai).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 12:31 PM