FOTO Bernama
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membantu kontraktor Bumiputera yang layak mendapatkan akses pembiayaan melalui projek jajaran MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di bawah penyeliaan MRT Lembah Klang.

Menerusi kerjasama itu, CGC menyasarkan untuk memperuntukkan pembiayaan bernilai RM100 juta daripada jumlah kontrak bernilai RM900 juta yang diperuntukkan di bawah pakej Bumiputera melalui projek MRT jajaran dua berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, kerjasama pihaknya dengan MRT Corp membuka peluang bagi sub-kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan pembiayaan bagi menjalankan kerja-kerja kontrak dalam projek yang membabitkan pembinaan rangkaian pengangkutan awam berasaskan rel dan projek rel sedia ada seperti Sistem Aliran Ringan (LRT), monorel dan KTM Komuter.

"Pada peringkat awal kerjasama ini, GCG menjadi pembiayan pilihan bagi kontraktor Bumiputera G1 dan G4 di bawah projek MRT Jajaran 1.

"Kami juga telah membantu kira-kira 12 kontraktor Bumiputera untuk menjalankan dan menyiapkan projek dengan menyediakan pembiayaan melalui Dana Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i)," katanya selepas menandatangani MoU berkenaan yang disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 12:16 PM