Antara barangan curi dan peralatan pecah rumah yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Tiga penyamun yang terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan premis perniagaan di beberapa daerah di negeri ini akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di kawasan Centre Point, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, semua suspek lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 35 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.

"Ketiga-tiga suspek yang tidak mempunyai pekerjaan ini dipercayai memecah masuk premis sewa kereta di Plaza Tanjung Aru, di sini, pada 8.20 pagi 6 Ogos lalu dan beberapa barangan milik syarikat terbabit hilang dipercayai dilarikan termasuk Perodua Myvi membabitkan kerugian RM67,000.

"Bertindak atas maklumat, JSJ IPD Kota Kinabalu semalam membuat serbuan di kawasan Centre Point dan berjaya menahan tiga suspek terbabit," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas lima komputer riba pelbagai jenama, sebuah televisyen, satu pemain cakera video digital (DVD), dua rangkai kunci kereta serta lima telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai dicuri.

"Kita turut merampas beberapa peralatan pecah rumah termasuk batang besi, alat pemotong besi dan kuku kambing.

"Susulan penahan ketiga-tiga suspek, polis percaya dapat menyelesaikan empat kes pecah rumah di kawasan Tanjung Aru, Luyang dan di daerah Penampang serta Beaufort.

Tambah Salehhudin, semua suspek didapati positif dadah dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 9:55 AM