ANGGOTA polis New York menangkap seorang lelaki ketika dia memanjat di luar Menara Trump, semalam. Lelaki berkenaan mendakwa dia penyokong Trump dan bertindak memanjat bangunan itu kerana mahu menemuinya. - Reuters

Washington: Calon parti Republikan dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi membuat kenyataan menjengkelkan dalam kempennya apabila menuduh Barack Obama dan Hillary Clinton mengasaskan kumpulan pengganas Daish.

Bercakap kepada penyokongnya di Fort Lauderdale, Florida, taikun hartanah itu berkata, kumpulan itu (Daish) ‘amat menghormati Presiden Obama.’

“Dia (Obama) mengasaskan ISIS (Daish). Dia yang mengasaskan ISIS. Dia pengasas ISIS,” kata Trump berulang kali.

“Dan yang mengasaskan ISIS bersama Obama ialah Hillary Clinton,” kata Trump sambil disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh penyokongnya.

Ia kenyataan mengejutkan daripada bilionair itu yang sehari sebelum itu membuat kenyataan seolah-olah meminta supaya Hillary, pesaingnya dari parti Demokrat ditembak sebagai cara untuk menghalangnya melantik hakim sekiranya memenangi pilihan raya itu November depan. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 9:52 AM