JAE-Hyung (kiri) berbincang dengan Khairul selepas perlawanan.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kedudukan ketua jurulatih Lee Jae-hyung yang membimbing skuad memanah negara sejak 2001 tampak tergugat selepas anak buahnya gagal mempamerkan prestasi cemerlang di Olimpik Rio.

Cabaran trio memanah negara yang diketuai Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Akmal Nor Hasrin berakhir apabila terkandas awal dalam saingan individu semalam.

Selepas tewas pusingan pertama kepada Perancis dalam acara berpasukan, nasib malang berterusan apabila Haziq dan Akmal turut gagal melepasi pusingan pertama manakala cabaran Khairul Anuar tersekat di pusingan kedua.

“Sudah pasti kita mengharapkan persembahan lebih baik berbanding London, sekurang-kurangnya kali ini mampu ke separuh akhir namun sebaliknya yang berlaku.

“Kita sememangnya mempunyai atlet berpotensi kerana perubahan setiap kali Olimpik. Namun strategi dan persiapan direncanakan barisan jurulatih dilihat tidak memberikan perubahan,” kata bekas pemanah Olimpik negara Mon Radee Sut Txi.

Tambahnya, mungkin sudah tiba masanya ‘angin perubahan’ dilakukan dalam menghadapi Olimpik Tokyo dalam tempoh empat tahun lagi.

“Mungkin rombakan perlu dilakukan kerana prestasi pemanah negara di pentas Olimpik sejak 2004 tidak banyak berubah. Pemanah kita seolah-olah berada pada tahap sama.

“Ini amat mengecewakan peminat sukan memanah tanah air,” tambahnya.

Mon Radee adalah atlet memanah pertama negara layak ke pentas Olimpik di Athens 2004 di bawah kendalian Jae-hyung disusuli trio memanah lelaki ke Olimpik Beijing, Olimpik London dan kini Olimpik Rio.

Bagaimanapun sepanjang empat Olimpik berkenaan, pemanah negara masih dilihat belum mampu mencabar untuk merebut pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 9:13 AM