BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua 'ulat parkir' masing-masing didenda RM1,000 dan RM700 oleh Mahkamah Trafik di sini hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan tanpa kuasa sah mendesak dan mengarahkan pemandu meletakkan kenderaan.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara 15 hari terhadap V Thiagan, 28, manakala H Kesava, 32, didenda RM700 atau penjara tujuh hari.

Thiagan didakwa mendesak pemandu kereta meletakkan kenderaan dan menuntut bayaran wang di Jalan Gelang off Jalan Sungai Besi di sini, pada 9.30 malam, semalam.

Kesava pula didakwa mendesak pemandu kenderaan meletak kenderaan dan menuntut bayaran wang di parkir hadapan Restoran FS Nasi Kandar Corner, Jalan Pudu Cheras, di sini, antara 10.30 malam dan 10.40 malam, semalam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 9:02 PM