PENDAKWA menunjukkan bagaimana Reyes menikam Corriaan di Mahkamah.

Houston: Sekumpulan juri sependapat menyabitkan kesalahan ke atas seorang pemuda yang dituduh membunuh remaja perempuan Februari lalu.

Jose Reyes, 18, didakwa atas kesalahan menculik, merogol dan membunuh Corriaan Cervantes, 15.

Kes itu mengejutkan banyak pihak kerana terlalu ngeri.

Bukti dikemukakan di mahkamah menunjukkan Corriaan diseksa teruk sebelum mayatnya diukir dengan simbol salib terbalik.

Reyes berusia 17 tahun ketika melakukan pembunuhan itu.

Pendakwa berkata, keadaan menjadi tidak menentu selepas Reyes dan Corriaan minum sepanjang malam dan menghisap ganja.

Katanya, siasatan menunjukkan Reyes kononnya menjual jiwanya kepada syaitan dan meyakinkan rakannya untuk bersama-sama membunuh Corriaan.

Beberapa saksi memberitahu mahkamah, Reyes mengaku membunuh Corriaan dan pada ketika tertentu, berbangga dengan tindakannya.

Dalam perbicaraan, pendakwa membacakan surat ditulis Reyes ketika dia ditahan di penjara Oktober lalu.

Dalam surat itu Reyes menulis: “Saya menikam dia 60 kali. Ia menyeronokkan. Ia perbuatan yang diarah oleh iblis.”

Peguam Reyes tidak memanggil sebarang saksi untuk membela tertuduh, namun menegaskan, tertuduh berasmara dengan mangsa dan kejadian itu berlaku tanpa sebarang paksaan.

Reyes kemudian dihukum penjara seumur hidup. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:08 AM