Sebahagian bungkusan daun ketum yang dirampas. FOTO ihsan APMM Wilayah Utara
Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara, Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar lapan bungkusan daun ketum seberat 100 kilogram (kg) bernilai RM1,250 berhampiran pantai Kuala Perlis, semalam.

Cubaan menyeludup itu dipatahkan anggota bot peronda APMM yang melakukan rondaan rutin di perairan Kuala Perlis pada 10.15 malam.

Mereka terserempak dengan sampan enjin galah yang dikemudi oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 3.4 batu nautika dari pantai Kuala Perlis.

Pengarah Maritim Pangkalan APMM Wilayah Utara Leftenan Komander Maritim Mohd Azlan Osman berkata, ketika bot peronda APMM menghampiri sampan itu untuk membuat pemeriksaan, lelaki terbabit melarikan diri dengan memecut sampannya.

“Dia dikejar sejauh dua kilometer oleh peronda APMM dan meloloskan diri ke daratan selepas membawa sampan ke kawasan cetek.

“Pemeriksaan semula di sekitar lokasi kejadian menemui lapan bungkusan plastik hitam dalam keadaan terapung. Bungkusan itu mengandungi daun ketum yang dibuang dari sampan itu dan dianggarkan seberat 100 kilogram bernilai RM1,250,” katanya.

Menurutnya, daun ketum itu dibawa ke jeti Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 7:14 PM