BARISAN pelakon filem KL Vampire bersama Devan (berdiri empat dari kiri).
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Hasrat selama empat tahun pengarah Devan R untuk menghasilkan filem aksi mengetengahkan pergaduhan di antara puntianak akhirnya tercapai menerusi KL Vampires.

Memulakan penggambaran bulan ini, Devan berkata, tempoh lama itu digunakan untuk mencari dana mencukupi serta membuat penyelidikan mengenai puntianak.

“Saya tidak terburu-buru kerana mahu menghasilkan filem berkualiti dengan bajet yang mencukupi. Sebenarnya sewaktu memperkenalkan idea ini kepada beberapa penerbit, mereka memaklumkan di Malaysia orang hanya mengenali puntianak dan bukannya ‘vampire’.

“Pelbagai cabaran saya hadapi sepanjang merancang pembikinan filem ini, namun saya nekad meneruskan impian itu,” katanya.

Devan berkata, hasil penyelidikan membawa dia kepada mitos Melayu iaitu Raja Bersiong yang gemar minum darah manusia.

“Kemudian, saya berjumpa semula dengan penerbit dan menggunakan mitos itu untuk menyokong filem berkenaan. Namun, KL Vampires bukan berdasarkan Raja Bersiong kerana plot cerita berbeza dan dicipta sepenuhnya oleh saya,” katanya.

Katanya, keinginan mengetengahkan filem berbeza dengan trend industri hiburan sekarang antara sebab dia memilih konsep supernatural.

“Walaupun ia mengenai makhluk menghisap darah, filem ini bukanlah seram sangat dan lebih kepada aksi kerana ada banyak babak pertarungan,” katanya.

Bercerita lanjut, Devan berkata, 60 peratus penggambaran dilakukan di tanah air manakala selebihnya di Jogjakarta, Indonesia.

Filem KL Vampires membariskan pelakon popular tanah air seperti Raja Ilya, Josiah Hogan, Aeril Zafril, Reen Rahim dan Wan Hanafi Su.

Ia turut menampilkan pelakon Indonesia Doni Alamsyah dan Cecep Arif Rahman.

Filem KL Vampires mengisahkan sekumpulan puntianak yang sudah insaf daripada melakukan kekejaman dan hidup dengan aman bersama manusia di ibu kota.

Mereka juga tidak menghisap darah manusia dan menggantikannya dengan darah sintetik.

Namun, kehadiran beberapa puntianak baru diketuai Argus di ibu kota mula mencetuskan huru-hara apabila kumpulan itu mula memburu manusia.

Bagi menghentikan keganasan itu, Ratu Suraya mengumpulkan beberapa puntianak untuk menghapuskan kumpulan terbabit.

Rupa-rupanya di sebalik serangan itu, Argus sebenarnya mempunyai motif sendiri dan berniat merampas takhta Ratu Suraya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 1:08 PM