Yasmin (kiri) menyaksikan majlis tandatangan MoU di antara Ketua Pegawai Eksekutif Lemon Sky Animation, Cheng Fei Wong (duduk dua dari kiri) dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bandai Namco Studio Singapura, Nakatani Hajime di Hotel Ritz Carlton.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bersedia untuk menjadikan Malaysia sebagai hab industri kreatif global dalam tempoh empat tahun akan datang berikutan nilai pasaran industri berkenaan semakin berkembang di peringkat global.

Menurut Laporan Pemasaran Permainan Global, nilai pasaran industri permainan global dijangka mencapai RM359.7 bilion menjelang 2017 dan rantau Asia menjadi salah satu pasaran terpenting bagi mencapai sasaran itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood berkata, ketika ini sektor permainan dan kandungan animasi yang termasuk di dalam industri kreatif berpotensi untuk dibangunkan dalam negara memandangkan terdapat pelbagai syarikat tempatan menceburinya secara agresif bagi menerokai pasaran asing.

Beliau berkata, bagi menjadikan Malaysia sebagai hab kreatif global, pembabitan syarikat tempatan dan kemasukan syarikat asing beroperasi di negara ini penting mencapai sasaran berkenaan.

“Bagi syarikat tempatan, kita akan menggalakkan mereka memasarkan produk ke peringkat antarabangsa dan ini berjaya dilakukan menerusi beberapa karya animasi tempatan antaranya Upin dan Ipin yang begitu diminati di Indonesia.

“Untuk menggalakkan kemasukan syarikat asing ke negara ini, kita akan menyiapkan ekosistem yang boleh menggabungkan usaha sama dalam pelbagai aktiviti perniagaan dengan syarikat tempatan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lemon Sky Animation Sdn Bhd (Lemon Sky) dan Bandai Namco Studio Singapura (Bandai Namco) di sini, semalam.

Menerusi kerjasama itu, Lemon Sky iaitu syarikat permainan animasi tempatan akan bekerjasama dengan Bandai Namco, syarikat permainan Jepun yang menghasilkan pelbagai permainan terkenal antaranya Pac Man dan Tekken akan membangunkan pelbagai permainan animasi untuk pasaran tempatan serta global.

Yasmin berkata, sektor multimedia kreatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia sudah membangunkan 330 syarikat tempatan aktif dalam aktiviti pembangunan mainan, animasi, kesan khas dan kesan visual.

“Sektor multimedia kreatif MSC Malaysia juga mencatatkan pendapatan RM6.39 bilion pada 2013 dan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan, manakala pelaburan domestik meningkat 16 peratus kepada RM470 juta berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:05 AM