Louisa Ponnampalam (kiri sekali) memberi penerangan kaedah merawat ikan lumba-lumba yang cedera kepada peserta Bengkel Mamalia Marin Terdampar Langkawi di Ombak Villa, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Pakej menyaksikan habitat dan aksi kumpulan ikan paus dan lumba-lumba berenang yang sering ditemui di sekitar perairan Langkawi berpotensi menjadi tarikan baru sektor pelancongan di pulau lagenda itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Tan Sri Khalid Ramli berkata, kehadiran ikan itu di perairan Langkawi memang ada sejak dahulu lagi, namun ia belum diketengahkan secara meluas.

"Saya sendiri pernah melihat kumpulan ikan lumba-lumba beraksi di perairan Pulau Payar, malah beberapa saksi lain pernah melihat aksi ikan sama di sekitar Dataran Lang, Pulau Tuba dan Teluk Datai, di sini.

"Jadi, sebaiknya aset marin ini ditonjolkan sebagai pakej pelancongan baru dalam usaha kita memperkasakan sektor pelancongan ekologi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Mamalia Marin Terdampar Langkawi di Ombak Villa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Datuk Rozaina Radzi dan Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan MareCet (PPM) Dr Louisa Ponnampalam.

Khalid berkata, mengikut kajian PPM sejak enam tahun lalu sekurang-kurangnya tiga spesies ikan lumba-lumba iaitu Indo-Pacific humpbacked dolphin (Sousa chinensis), Indo-Pacific finless porpoise (Neophocaena phocaenoides) dan Indo-Pacific bottlenose dolphin (Tursiops aduncus) ditemui membiak di perairan Langkawi.

"Turut ditemui satu spesies paus dikenali Bride's Whale(Balaenoptera edeni)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 1:35 PM