ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah kilang makanan di Sanaa yang terbakar selepas terkena serangan udara Arab Saudi.
Reuters

Aden: Tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan terhadap ibu negara Yaman, Sanaa, semalam, kali pertama dalam tempoh lima bulan, kata penduduk.

Serangan itu dilakukan selepas rundingan damai yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (pbb) untuk menamatkan konflik bersenjata berakhir dengan kegagalan hujung minggu lalu.

Pasukan perubatan berkata, 14 orang awam terbunuh apabila sebuah kilang makanan di daerah Nahda di ibu negara itu turut dibom.

Pakatan yang diketuai Saudi itu menyokong tentera yang setia kepada kerajaan dalam buangan pimpinan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang berusaha mengusir pemberontak Houthi dari Sanaa.

Pakatan itu juga memaksa penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa selama 72 jam sejak lewat kelmarin, kata pegawai dan sumber agensi bantuan.

Serangan udara semalam menyasarkan pekarangan istana presiden dan pangkalan tentera di Sanaa serta markas Pengawal Republikan di kawasan Arhab, tidak jauh dari lapangan terbang.

Tentera prokerajaan pula berusaha mara memasuki Sanaa dari timur dan utara.

Dalam perkembangan lain, penduduk di Azzan di wilayah Shabwa, selatan Yaman berkata, militan Al-Qaeda berundur dari bandar itu berikutan serangan udara Saudi yang menyasarkan kedudukan mereka.

Kumpulan militan terbabit mengambil kesempatan terhadap peperangan di negara itu untuk menguasai sebahagian besar selatan Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:08 AM