KALIS air pada piawaian IP68 termasuk S Pen.
WAKIL media cuba menggunakan fungsi Note7 yang direndam dalam air.
PETUGAS Samsung menunjukkan ciri dan fungsi Samsung Note7.
WAKIL media berkesempatan melihat lebih dekat peranti Note7.
Badrila Jamlus
jbad@hmetro.com.my


Kehadiran telefon pintar terbaru keluaran Samsung Electronic Co Ltd iaitu Galaxy Note7 menterjemahkan kepada dunia telekomunikasi bahawa teknologi digital terkini mampu menghasilkan produk yang mampu memenuhi kehendak pasaran semasa.

Apa yang dimaksudkan ialah ciri pengimbas mata (Iris Scanner), ciri paling canggih yang terdapat pada telefon pintar terbaru ini sebagai satu bentuk ciri keselamatan tambahan. Pengimbas mata ini adalah sekuriti biometrik tambahan selain pengimbas jari dan boleh digunakan untuk mengakses peranti, membuat pembelian pada Google Play Store serta menyokong Samsung Pay.

Samsung mengambil masa hampir lima tahun untuk membangunkan ciri pengimbas mata itu untuk dipadankan dalam reka bentuk telefon Note7 yang bersaiz 5.7 inci dengan berat 169 gram. Menerusi ciri berkenaan, pemilik telefon boleh menyimpan maklumat sulit dalam satu folder yang hanya boleh diakses oleh pemilik mata sebenar. Canggih bukan!

Justeru penulis menyenaraikan 10 sebab mengapa anda perlu pertimbangkan untuk beralih kepada Note7 yang dilengkapi S Pen:

Reka bentuk menarik

Skrin Galaxy Note7 bersaiz 5.7 inci dengan paparan Quad HD 2560x1440 pixel membawakan rekaan melengkung pada bahagian kiri dan kanan sebagaimana ciri yang terdapat pada Samsung Galaxy S7 Edge yang diperkenalkan pada awal tahun ini. Dengan skrin yang melengkung, ia turut menyertakan fungsi Edge Panel padanya.

Reka bentuknya hadapannya menggunakan Corning Gorilla Glass 5 dan logam dibelakangnya menjadikan telefon itu mudah dipegang atau digenggam sama ada dari hadapan atau belakang.

Fungsi Edge Panel pula membolehkan pengguna membuat pelbagai pilihan skrin mengikut cita rasa masing-masing yang cukup mudah diakses sama ada menggunakan pen ataupun sentuhan jari.

Kalis air pada piawaian IP68 termasuk S Pen

Sebagaimana ciri yang ada pada peranti Samsung S7 dan S7 Edge, Galaxy Note7 kini kalis air dan habuk. Namun ciri itu turut dipanjangkan kepada S Pen dan diiktiraf standard IP68 sekali gus membolehkan peranti ini digunakan di dalam air sehingga 1.5 meter selama 30 minit. Maka tidak perlu risau sekiranya telefon ini tiba-tiba terjatuh dalam sinki bilik air atau basah akibat terkena air hujan.

Anda boleh menulis apa sahaja nota dan menggunakan aplikasi telefon ini menggunakan S Pen dalam air mahupun mengambil gambar dalam air berdasarkan kedalaman yang disyorkan.

Pengimbas Iris pertama dalam peranti Samsung

Ciri cukup menarik dan mencuri perhatian ialah kebolehan mengimbas mata untuk sekuriti tambahan. Pengimbas mata ini adalah sekuriti biometrik tambahan selain pengimbas jari atau corak yang turut boleh digunakan untuk mengakses peranti, membuat pembelian pada Google Play Store serta menyokong ciri pembayaran elektronik Samsung Pay.

Sensor Iris yang didatangkan bersama peranti ini dianggap paling selamat kerana setiap manusia memiliki corak mata yang berbeza malah sensor ini mampu mengimbas mata anda walaupun berada dalam keadaan gelap dengan bantuan cahaya infra merah yang dipancarkan terus ke mata anda.

Anda boleh menyimpan maklumat sulit dalam satu folder dengan selamat tanpa boleh diakses oleh sesiapa tetapi hanya pemilik mata yang sebenar. Folder itu pula diperkukuhkan dengan sistem pertahanan Samsung Knox dan paling penting folder ini boleh dilihat oleh anda sahaja.

Ciri S Pen yang dipertingkatkan

S Pen pada Samsung Galaxy Note 7 hadir dengan mata yang lebih kecil iaitu 0.7mm berbanding sebelumnya, 1.6mm. Fungsi Air Command untuk S Pen juga turut ditambah termasuk sokongan Magnify dan Translate.

Anda boleh membesarkan sesuatu perkataan seolah-olah menggunakan kanta pembesar dan mendapatkan terjemahan segera perkataan dalam bahasa lain dengan hanya menghalakan S Pen kepada perkataan dikehendaki.

Pen yang kalis air itu juga memudahkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi berkaitan dan kini Samsung mengumpulkannya semua dibawah satu aplikasi dinamakan sebagai Samsung Notes. Samsung mengatakan S Pen baru ini menawarkan pengalaman menulis seumpama pena sebenar dan turut boleh digunakan untuk mencatat nota ketika skrin dalam keadaan basah.

Tahap sensor S Pen turut dipertingkatkan daripada 2048 kepada 4096 dan pen ini juga boleh berfungsi untuk melakukan skrin Capture dengan mudah tanpa perlu menekan sesuatu butang pada telefon.

Hiburan tanpa henti

Galaxy Note 7 turut hadir dengan sokongan penstriman video HDR, menjadikan video yang ditonton lebih menarik seumpama dipanggung wayang. HDR atau High Dynamic Range ialah video jenis ultra realistik yang memberikan imej dan cahaya lebih jelas serta kontras.

Anda boleh menikmati kandungan terbaik HDR termasuk hiburan yang memenangi anugerah dalam Amazon Original Series dengan memuat turun aplikasi Amazon Video daripada Galaxy Essentials.

Bagi penggemar permainan video, ia memberikan pengalaman berbeza kerana peranti ini dikuasakan oleh ciri permainan Vulkan.

Kamera yang dipertingkatkan

Untuk rakaman gambar, ia menggunakan teknologi kamera Dual Pixel iaitu 12-megapixel dengan apertur F1.7 pada bahagian belakang dengan sokongan penstabilan imej optikal dan kamera hadapan 5-megapixel (F1.7).

Ciri kamera yang sama dengan Samsung S7 itu membolehkan gambar yang diambil lebih jelas malah pilihan bentuk mod gambar juga boleh dilakukan sama ada perlahan atau pantas selain boleh memiliki jenis fokus gambar yang dikehendaki seperti imej gambar di hadapan jelas dan kabur di belakang.

Anda boleh merakam foto seperti seorang jurugambar profesional dan ini amat sesuai bagi mereka yang aktif dalam media sosial serta mahu berkongsi gambar dengan rakan lebih pantas menggunakan apa saja medium termasuk aplikasi WhatsApp.

Storan tambahan

Peranti ini dijana menggunakan cip pemprosesan Exynos 8890, memori 4GB RAM, ruangan storan standard 64GB UFS 2.0 dan paling menarik ia boleh menggunakan mikro-SD sehingga 256GB untuk menyimpan ribuan gambar atau video dalam ruangan slot di bahagian atas telefon berkenaan.

Pengguna juga boleh menggunakan slot sama untuk kad-SIM kedua. Galaxy Note7 juga dipadankan dengan pemprosesan (GPU) yang lebih pantas dan perisian Android 6.0.1 Marshmallow yang hadir dengan penambahan antaramuka tersendiri daripada Samsung.

Bateri tahan lebih lama

Bateri Samsung Note7 ini turut dipertingkatkan daripada 3000mAh kepada 3,500mAh. Untuk mengisi ruang tenaga yang besar, Samsung memberikan fungsi pengecasan pantas padanya. Kuasa baterinya boleh diisi daripada kosong ke penuh dalam masa 100 minit sahaja. Lebih menarik, ia juga boleh dicas secara wayarles dan menyokong piawaian pengecasan daripada WPC dan PMA.

USB Type-C yang ada pada Note kali ini adalah yang pertama dalam kalangan peranti Samsung. Anda boleh mengecas atau memindahkan data daripada telefon kepada pemacu USB dengan mudah.

Samsung turut memperkenalkan pek bateri tambahan berkuasa 3100mAh bagi Note7 yang bukan sahaja selesa dipegang tetapi juga kalis air.

Ciri Smart Switch

Anda boleh memindahkan apa saja data atau gambar daripada telefon lama anda sama ada berdasarkan platform Android, iOS atau BlackBerry kepada Note7 dengan menggunakan aplikasi Smart Switch. Malah, jika anda pengguna model Galaxy Note yang lama, semua maklumat berkaitan S Pen dan S Notes turut boleh diakses pada peranti baru ini menerusi aplikasi Samsung Note.

Aksesori

Bersama-sama dengan Galaxy Note7, Samsung turut mengumumkan Gear VR baru yang menyokong port USB Type-C dan diberikan kemas kini untuknya.

Selain itu, Samsung memperkenalkan fon telinga Gear IconX dan juga jam pintar kecergasan Gear Fit 2. Fon telinga Gear IconX adalah pemain muzik tanpa wayar sebenar dan saiznya sangat kecil iaitu cukup muat di dalam lubang telinga orang dewasa.

Gear IconX berhubung dengan peranti melalui Bluetooth versi 4.1 yang rendah tenaga. Peranti itu boleh memainkan muzik tanpa menyambung ke telefon, melalui storan 4GB terbina. Pengguna boleh menyimpan muzik di dalamnya dan mendengar muzik tanpa perlukan telefon.

Jam pintar terbarunya pula memiliki reka bentuk dengan skrin warna panjang ibarat gelang dan satu fungsi tambahan penting iaitu GPS terbina di dalam. Ciri ini membantu peminat larian untuk memantau lokasi larian mereka seperti masa yang diambil dan jalan dilalui sekali gus tidak perlu lagi membawa bersama telefon pintar untuk mendapatkan fungsi GPS.

Juga boleh dihubungkan dengan kamera Samsung Gear 360 yang memberikan definisi gambar atau video dalam bentuk yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 6:53 AM