TELEFON tak mudah calar.
Wan Nur Ameera Meor Rozman
it@hmetro.com.my


TP-LINK melengkapkan barisan Neffos C5 dengan perkenalan Neffos C5 Max, selepas menampilkan dua model telefon pintar, Neffos C5L dan Neffos C5 pada awal tahun lalu.

Sama seperti namanya, C5 Max adalah model peranti pintar yang mempunyai saiz paling besar dalam siri Neffos C5 ini.

Dikuasakan oleh CPU MTK MT6753 8x Cortex-A53 1.3GHz, C5 Max mampu memberikan pengalaman penggunaan telefon pintar yang terbaik kepada anda, apabila ia sesuai untuk apa jua tujuan sama ada pekerjaan harian ataupun digunakan bagi fungsi hiburan.

Ditambah pula dengan 16GB ROM dan RAM 2GB, , ia pastinya dapat memudah dan melancarkan pertukaran satu aplikasi ke aplikasi yang lain dengan lebih pantas.

Jika bahagian dalamnya dibina untuk memperhebatkan kuasa peranti, begitu juga bagi penciptaan pada sisi luarannya.

Dilapisi dengan Corning Gorilla Glass 2 yang anti-calar, C5 Max sedikit sebanyak dapat memberi kebebasan kepada penggunanya untuk meletakkan peranti pada mana-mana permukaan kerana sifatnya yang anticalar.

Malah, pengguna juga tidak perlu risau jika meletakkannya di dalam bag bersama barang lain seperti dompet, pen atau apa saja peralatan bersifat tajam.

Di sebalik lapisan kaca anticalar berkenaan, terletak sekeping skrin dengan kualiti Crystal Clear berukuran sehingga 5.5 inci.

Memandangkan ia dilengkapi dengan paparan HD bersama teknologi LCD, keluaran peranti terbaru oleh TP-LINK ini berupaya mempertontonkan gambar dan video dengan paparan yang jelas daripada sudut 178 darjah berserta kontras 1600:1.

Mengenai kamera pula, C5 Max mempunyai kamera belakang 13MP untuk membolehkan pengguna merakam detik indah melalui gambar yang jelas dan terang.

Pengguna tidak perlu risau sekiranya mengambil foto dalam persekitaran kurang pengcahayaan terutama waktu malam kerana kamera C5 Max ini didatangkan bersama apertur F2.0 dan flash LED.

Manakala 5MP kamera hadapan dengan lens luas pula mengupayakan anda untuk mengambil gambar selfie dan welfie berlatarkan permandangan indah. Oleh itu, anda tidak perlu lagi membawa bersama lensa fish eye.

Malah, pengguna turut disaran untuk menggunakan filter artistik melalui Super Camera dan merakam gambar potret yang sempurna menerusi mod Beauty Selfie.

Selain itu, aplikasi Smart Screenshot juga boleh memudahkan anda untuk membuat multiple screenshots dalam satu-satu masa.

Neffos C5 Max memberi kuasa dan pilihan kepada anda untuk mendapatkannya sama ada dalam warna Pearl White dan Dark Grey.

SPESIFIKASI:

PRODUK: Neffos C5 Max

HARGA: RM699

PENGEDAR: TP-LINK

CIRI: Smart Screenshot

PRO: Cermin anticalar

KONTRA: Bateri Cepat habis

LAMAN WEBSITE: http://www.neffos.my/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 6:23 AM