MUHYIDDIN selepas menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti baru. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan borang permohonan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Beliau tiba di perkarangan bangunan ROS pada 3.15 petang diiringi kira-kira 50 penyokong.

Muhyiddin berkata, buat masa ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disenaraikan sebagai Pengerusi parti berkenaan.

"Parti ini terbuka kepada warga negara Malaysia terdiri daripada Melayu, Bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak.

"Bagi kaum lain, turut digalakkan menjadi ahli bersekutu dan mereka mempunyai hak sama, namun tidak boleh mengundi atau bertanding tetapi, boleh dilantik menganggotai mana-mana jawatan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang permohonan pendaftaran di sini, hari ini.

Terdahulu, berlaku sedikit kekecohan ketika sidang media Muhyiddin berikutan kehadiran beberapa penyokong Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di luar bangunan ROS.

Mereka cuba memasuki lobi bangunan semasa sidang media berlangsung, namun dihalau penyokong Muhyiddin.

Penyokong JMM kemudian berkumpul di luar bangunan ROS sambil memegang kain rentang 'Nothing To Hide 2.0' dan kekecohan yang berlaku kira-kira lima minit itu berjaya ditenangkan oleh pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 5:41 PM