GELEKAN Mas Idayu dan Amelina memukau penonton.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Penghujung 1990-an, hubungan bintang terkenal dangdut Mas Idayu dan Amelina pernah keruh. Malah keputusan Amelina menyepikan diri selama 15 tahun membuatkan ramai tertanya-tanya apa jadi dengan persahabatan mereka?

Sepanjang tempoh itu, Mas Idayu dilihat lebih menyerlah apabila sering diundang menjadi mentor dan juri beberapa program realiti.

Bagaimanapun, pada penghujung 2014, Amelina membuat kemunculan semula dan sejak itu namanya kembali mengharum.

Pertemuan menerusi sebuah program raya terbitan Astro tahun lalu merungkai segala persoalan. Malah, gandingan mereka dalam konsert Lentera Muzik: Diva Dangdut yang diadakan kelmarin menguatkan lagi tanggapan peminat mereka sudah berbaik.

Tidak menafikan perkara itu, Mas Idayu yang popular menerusi lagu Cintaku 100%, mengakui pernah wujud perselisihan faham di antara mereka.

“Cerita pergaduhan sudah kami jelaskan dalam program Rendang Dendang Dangdut terbitan Astro tahun lalu. Masing-masing mengakui kesilapan dan menjelaskan apa yang terjadi ketika itu.

“Tidak dinafikan pada awal perkenalan, kami baik sahaja tetapi kerana percaya dengan khabar angin kami bermasam muka untuk tempoh yang agak lama.

“Hubungan kami kembali pulih selepas dipertemukan dan menceritakan hal sebenar. Alhamdulillah segala salah faham berakhir dan kami kembali berbaik. Bagi saya biarlah kisah hitam itu tinggal sejarah dan kami kini buka buku baru,” katanya.

Cerita itu turut dipersetujui Amelina yang mesra disapa dengan nama Alin. Katanya, ketika kejadian itu dia masih mentah dalam industri seni sehingga orang mudah mengambil kesempatan terhadap dirinya.

“Saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya bersyukur kerana semuanya sudah selesai.

“Apa yang boleh saya katakan, apabila bergelar anak seni kita perlu pandai bawa diri dan memilih kawan. Jangan mudah percaya dengan khabar angin,” katanya.

Lentera Muzik: Diva Dangdut

Menyentuh konsert Lentera Muzik: Diva Dangdut yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur kelmarin ternyata penonton yang hadir terhibur melihat kelincahan dua penyanyi ini bergelek dan mempamer persembahan hebat.

Meskipun masing-masing sudah berusia 40-an, vokal mereka mantap dan gandingan buat julung kalinya itu dinantikan peminat.

Menerusi konsert berdurasi 1 jam 30 minit itu, penonton dihiburkan dengan seleksi lagu hit dua diva itu.

Lebih menarik, Mas Idayu dan Amelina bukan hanya mendendangkan lagu dangdut malah turut membuktikan kemampuan membawakan pelbagai genre muzik.

Malah konsert ini juga membuktikan irama dangdut masih didambakan pencinta muzik tempatan malah penonton terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

Kata Mas Idayu, dia begitu terharu dan seronok apabila berpeluang berkongsi pentas dengan Amelina buat pertama kalinya.

“Konsert ini adalah gandingan pertama kami selepas sekian lama tidak bersama. Saya sangat terharu apabila RTM menawarkan kami menjayakan persembahan secara langsung,” katanya.

Sementara itu, Amelina pula berkata konsert ini bukti hubungan mereka masih utuh selain mengimbau kembali nostalgia lama.

“Saya seronok dan teruja berkolaborasi dengan Mas Idayu. Bagi saya konsert ini penghargaan buat kami apabila dapat mengimbau kembali kenangan ketika mula menyanyi.

“Malah konsert ini secara tidak langsung menutup cerita kami pernah bermasam muka. Jika ada peluang lagi selepas ini saya mahu berkerjasama dengan Mas Idayu,” katanya yang bakal muncul dengan single baru berjudul Rambutku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 11:02 AM