SUKARELAWAN menutup mayat mangsa yang bergelimpangan di hospital di Quetta.

Quetta: Seorang penyerang berani mati meletupkan dirinya di sebuah hospital kerajaan di barat daya Pakistan, menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh.

Serangan di bandar raya Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistan itu turut mencederakan kira-kira 50 yang lain.

Kejadian berlaku sejurus selepas mayat seorang tokoh peguam yang mati dalam satu serangan beberapa jam sebelum itu dibawa ke hospital berkenaan, kata pegawai kanan polis Zahoor Ahmed Afridi.

Menurut Zahoor, kira-kira 100 peguam dan wartawan berada di hospital itu ketika letupan berlaku di pintu masuk bangunan yang menempatkan wad kecemasan.

Jamaatul Ahara - kumpulan yang bernaung di bawah Tehreek-e-Taliban Pakistan - mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu melalui e-mel kepada media.

Kumpulan itu turut mengancam melaksanakan lebih banyak serangan ‘sehingga undang-undang Islam dilaksanakan di Pakistan.’

Menteri Dalam Negeri Baluchistan, Sarfraz Bugti mengecam kejadian itu dengan menyifatkannya sebagai ‘tindakan keganasan.’

Sebuah rangkaian televisyen tempatan melaporkan, seorang jurukameranya juga terbunuh.

Sementara itu, pihak berkuasa belum dapat memastikan pihak yang bertanggungjawab membunuh peguam terkenal, Bilal Kasi yang ditembak ketika dalam perjalanan ke mahkamah.

Ketua Menteri Sanaullah Zehri berkata, serangan bom dan pembunuhan Bilal dilihat sebagai usaha untuk mengganggu keamanan di Quetta.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan orang ramai yang cemas bertempiaran lari di sekitar kawasan hospital.

Menurut Afridi, kebanyakan yang terbunuh adalah peguam yang berada di tempat kejadian untuk menziarah jenazah Bilal.

Baluchistan sudah sekian lama berdepan dengan keganasan. Terdapat beberapa kumpulan pemisah beroperasi di wilayah yang kaya dengan sumber asli itu.

Al-Qaeda dan beberapa kumpulan militan juga aktif di wilayah itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 10:40 AM