SHAFIEN menunjukkan motosikal suspek serta motosikal dicuri yang ditemui semula. FOTO Ayusliza Azizan
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian tetak dan tembak tiga penduduk Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16, dekat sini pagi kelmarin ditahan sehingga pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dua lelaki berusia 20 hingga 55 tahun itu ditahan selepas dua jam kejadian manakala seorang lagi ditahan pada jam 3 pagi tadi.

Beliau berkata, dalam tangkapan itu polis turut merampas tiga motosikal serta sebuah kereta dan menemui motosikal yang disamun kumpulan penjenayah berkenaan.

"Kita sudah mengesan lebih lima suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan kini sedang menjejaki mereka.

"Sehubungan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi memburu baki suspek terbabit," katanya di sini, hari ini.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan semua suspek ditahan reman sehingga 13 Ogos ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi kelmarin, tiga penduduk pangsapuri itu cedera ditetak, ditembak dan dilanggar kenderaan suspek.

Semua mangsa kini masih mendapatkan rawatan di hospital.

Berita berkaitan:

Tiga parah ditetak, ditembak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 5:08 PM