TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman. FOTO Jalal Ali Abdul Rahim
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Taiping: Empat warga Indonesia masing-masing didenda RM52,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menceroboh dan menebang pokok bakau secara haram dalam kawasan hutan simpan.

Tertuduh Andi Setiawan, 21; Eko Rahani, 29; Edi Supriyono, 33 dan Surohman, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama menebang 493 batang pokok jaras bakau tanpa kebenaran di sebahagian kompartment 44, Pekan Simpan Teluk Kertang di daerah Larut dan Matang, tanpa kebenaran pada jam 1 petang pada 24 Julai lalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Perenggan 81(1)(b) yang boleh dihukum di bawah perenggan 81(2)(b) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama-sama memasuki hutan simpan kekal tanpa di tempat dan masa yang sama dan didakwa mengikut Sub Seksyen 47(1) yang boleh dihukum mengkut Sub Seksyen 47(4) enakmen sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mohd Sabri kemudiannya menjatuhkan hukuman denda maksimum iaitu denda sebanyak RM50,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kesalahan pertama, manakala denda sebanyak RM2,000 atau penjara selama sebulan bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Safiyatun Ahmad Dun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 3:05 PM