PCOS boleh menyebabkan wanita mengalami masalah kulit seperti lelaki disebabkan hormon lelaki yang berlebihan.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Sudah lama berumah tangga tetapi belum dikurniakan cahaya mata? Usah mudah menuding jari mengatakan si isteri mandul kerana ia kadangkala berpunca daripada masalah hormon.

Dianggarkan satu daripada enam wanita mengalami masalah kesuburan disebabkan ketidakseimbangan hormon hingga membuatkannya sukar hamil selepas beberapa tahun berkahwin.

Menurut pakar kesuburan Sunfert International Fertility Centre Dr Eeson Sinthamoney, tahap kesuburan wanita merosot selepas berusia 35 tahun.

“Keadaan ini membuatkan peluang untuk hamil selepas usia 35 tahun amat rendah berbanding wanita dalam lingkungan usia 20-an.

“Pada masa sama, tahap kesuburan lelaki juga merosot seiring peningkatan usia. Jadi, jika berkahwin lewat dan belum dikurniakan anak selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, jangan cepat menyalahkan pasangan.

“Kira-kira 30 peratus daripada kes ketidaksuburan adalah berpunca daripada wanita dan 30 peratus lagi daripada lelaki. Sementara itu 30 peratus membabitkan kedua-duanya dan 10 peratus tidak diketahui puncanya,” katanya.

Wanita yang mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS) lazimnya mengalami kesukaran hamil.

Bagaimanapun, ada juga wanita yang mempunyai sindrom ini berupaya hamil secara semula jadi tanpa bantuan rawatan kesuburan.

PCOS adalah keadaan kilang telur atau ovari seseorang wanita menjadi bengkak disebabkan benih terperangkap di dalamnya dan tidak boleh menetas pada waktu subur.

Keadaan ini membuatkan ovari yang membengkak itu menyebabkan berlaku masalah kesuburan dan gangguan kitaran haid.

Ramai dalam kalangan penghidap PCOS mengalami masalah tidak datang haid untuk jangka waktu panjang. Ada pula yang mengalami perdarahan haid yang sangat banyak atau berpanjangan.

Punca sebenar berlakunya PCOS tidak dapat dikenal pasti namun genetik mungkin salah satu faktornya.

“PCOS cenderung berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Seseorang wanita itu mempunyai peluang tinggi mengalaminya jika ada wanita lain dalam keluarganya mengalami masalah haid tidak teratur atau kencing manis.

“PCOS juga dikatakan boleh diwarisi sama ada daripada sebelah ibu atau keluarga bapa,” tambahnya.

Masalah kegemukan atau berat badan berlebihan tidak ketinggalan turut menjadi puncanya dan ada mengalami masalah tumbuh rambut yang lebat pada kaki, dada serta bahagian muka.

“Biasanya PCOS disahkan apabila wanita mengalami sekurang-kurangnya dua daripada petanda atau masalah iaitu anovulasi, sista dan hiper-androgenisma.

“Anovulasi ialah keadaan apabila masalah telur tidak keluar langsung, diikuti oligo-ovulasi iaitu telur yang jarang keluar.

“Hiper-androgenisma pula ialah masalah berlebihan hormon lelaki hingga menyebabkan tumbuh bulu roma seakan-akan ‘bermisai’, selain kulit kasar dan berminyak teruk seperti keadaan kulit lelaki.

“Selain itu, ada juga yang mengalami masalah bilangan folikel kecil seakan-akan sista di dalam ovari, biasanya bersaiz lapan milimeter malah ada yang lebih kecil.

Wujud isu lain

Tidak hanya PCOS, endometriosis juga kadangkala boleh menyebabkan ketidaksuburan dalam kalangan wanita.

Dianggarkan tujuh peratus wanita lingkungan usia 18 hingga 35 tahun mengalaminya dan menjadi antara punca utama kepada kegagalan hamil.

Endometriosis ialah selaput rahim yang tumbuh di luar rahim iaitu pada usus, pundi kencing, salur kencing, tiub Fallopio dan bahagian lain di luar kawasan pelvik.

Ia berlaku apabila selaput endometrium menebal dan berdarah sewaktu kitaran haid, tetapi ia tidak mengalir keluar daripada tubuh.

Ini boleh mengakibatkan keradangan tisu di sekelilingnya, seterusnya penghasilan tisu parut. Apabila ini berlaku, kilang telur mula membengkak dan darah kotor terkumpul di dalamnya manakala saluran peranakan berisiko rosak dan tersumbat.

Masalah sperma juga mungkin menjadi punca sekiranya pasangan lelaki banyak merokok, menghidap masalah seperti kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal.

Kata Dr Eeson, rawatan yang boleh dilakukan untuk masalah ketidaksuburan ini bergantung kepada punca masalah setiap pasangan.

Secara umumnya, rawatannya termasuk memberi ubat subur, permanian beradas (Intra Uterine Insemination atau IUI) dan persenyawaan in vitro (IVF).

“Jika PCOS yang menjadi masalahnya, ada beberapa rawatan akan disyorkan antaranya saranan menurunkan berat badan.

“Wanita PCOS terutama yang mengalami berat badan berlebihan lebih berisiko mengalami penyakit diabetes mellitus, lebih kolesterol darah, penyakit jantung dan kanser endometrium rahim.

“Langkah awal yang perlu dilakukan ialah mengawal pemakanan dan bersenam bagi menurunkan berat badan sehingga ke tahap ideal.

“Jika cara itu tidak berkesan, barulah pakar akan kembali mengenal pasti masalah kesuburan itu,” katanya.

Rawatan seperti menggunakan ubat subur untuk mengembalikan peraturan ovulasi setiap bulan mungkin akan dilakukan.

Penggunaan ubat subur boleh membantu mengembalikan atau memulihkan ovulasi dalam kalangan wanita yang mengalami diabetes atau PCOS ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 11:04 AM