KINI ia dilihat sebagai ancaman apabila dikenal pasti punca kegagalan otak.
Susunan Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Masalah kegemukan dan obesiti sering dikaitkan dengan punca berlakunya penyakit tiga serangkai kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Kini, masalah berat badan berlebihan mula dilihat sebagai ancaman kepada penduduk dunia berikutan ia dikenal pasti sebagai punca kegagalan otak.

Dalam kajian saintifik yang dilaporkan jurnal Neurobiology of Ageing baru-baru ini, otak golo–ngan usia pertengahan yang mengalami kegemukan didapati menunjukkan tanda penuaan lebih cepat berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal.

Saintis mendapati tahap tisu penghubung yang membolehkan kawasan berbeza dalam otak berkomunikasi didapati lebih rendah pada individu bermasalah berat badan berbanding mereka yang tidak mengalami obesiti.

Atas faktor itu, otak golongan yang berlebihan berat badan berusia dalam lingkungan 40-an ini dilihat sedekad lebih tua berbanding rakan sebaya mereka yang berada dalam kumpulan berat badan biasa.

Laporan terbabit turut menjelaskan jurang 10 tahun itu bersifat malar dari semasa ke semasa bagi kumpulan obes berbanding yang normal.

“Otak setiap manusia akan mengalami proses penuaan, sama seperti bahagian tubuh lain. Apabila otak mengalami proses itu, secara semula jadi saiz–nya akan mengecut,” kata saintis di Jabatan Psikiatri Universiti Cambridge yang juga seorang penulis laporan itu, Lisa Ronan.

Katanya, mereka yang obes mengalami pengecutan mendadak pada otaknya berbanding kumpulan normal.

Kini, ramai saintis mula berspekulasi sama ada berat badan berlebihan menjadi punca kepada perubahan otak atau tahap tisu penghubung yang rendah menjadi punca kepada penambahan berat badan.

“Amat penting untuk kami kenal pasti interaksi antara dua faktor ini memandangkan kesannya pada kesihatan agak serius,” ujar pengkaji kanan, Paul Fletcher dalam kenyataan jurnal itu.

Seramai 500 sukarelawan berusia 20 ke 87 tahun terbabit dalam kajian ini. Sebahagiannya mengalami masalah berat badan dengan ada di antaranya menunjukkan tahap tisu penghubung yang amat rendah terutama bagi golongan usia pertengahan.

Ada sejumlah peserta pula menunjukkan tahap tisu yang terlalu sedikit hingga sukar diukur dengan kebolehan kognitif atau IQ di antara golongan gemuk dan kurus.

“Kami belum pasti implikasi perubahan ini pada struktur otak. Jelas sekali ini permulaan kepada kami untuk mengkaji lebih lanjut mengenai kesan berat badan, diet dan senaman kepada otak serta keadaan memori manusia,” kata profesor Institut Metabolik Sains Wellcome Trust-Medical Research Council di Cambridge, Sadaf Farooqi.

Kriteria untuk ‘berat badan berlebihan’ dan ‘obes’ dikira dengan nisbah tinggi kepada berat badan yang dikenali sebagai Indeks Jisim Badan (BMI).

Bagi tujuan kajian itu, berat badan berlebihan dan obes diletakkan dalam satu kategori sementara satu kategori lagi untuk mereka yang mempunyai berat badan normal.

Makin ramai obes

Saat ini, dicatatkan 2.1 bilion orang hampir 30 peratus penduduk dunia mengalami obes atau berat badan berlebihan.

Berdasarkan analisis trend data yang diperoleh daripada 188 negara, peningkatan jumlah obes global meningkat secara mendadak sejak tiga dekad lalu hingga mencetuskan epidemik kesihatan umum, baik di negara maju mahupun kalangan negara membangun.

Analisis yang dilakukan Institut Kesihatan Matriks dan Penilaian (IHME) di Universiti Washington mendapati jumlah golongan dewasa yang mengalami berat badan berlebih atau obes adalah sama antara lelaki dan wanita.

Di negara maju, lelaki lebih tinggi mencatatkan tahap obes sementara wanita lebih ramai mengalami masalah kegemukan di negara membangun.

Pada masa sama, negara maju turut mencatat tahap obes yang tinggi dalam kalangan golongan remaja.

“Obesiti adalah isu yang menjejaskan individu tanpa mengira usia, latar belakang dan kedudukannya.

“Sejak tiga dekad lalu, tiada satu negara pun yang berjaya mengurangkan kadar obesiti ini dan kami jangka angka itu akan terus meningkat berikutan berlaku perubahan pada tahap ekonomi negara terbabit,” kata pengarah IHME, Dr Christopher Murray. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 10:47 AM