BARISAN artis baru yang memeriahkan booth Harian Metro dan Metro Ahad.
TIGA peserta yang menjuarai pertandingan karaoke.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Meskipun Karnival Harian Metro (HM) Padat sudah berlalu, namun impak kemeriahannya masih lagi dirasai.

Apatah lagi, sepanjang dua hari karnival itu berlangsung di pekarangan Stadium Malawati, Shah Alam ternyata sambutan diterima daripada pengunjung amat baik.

Apapun, kemeriahan Karnival HM Padat lebih menyerlah pada petang Ahad menjelang konsert dengan kemunculan semula Ratu Dangdut, Amelina selepas 15 tahun menyepikan diri.

Ternyata, aura penyanyi lagu Memori Daun Pisang ini terhadap peminat masih menebal kerana penampilan Amelina atau Alin begitu ditunggu-tunggu mereka pada acara berkenaan.

Selain kemunculannya, Amelina juga menjual album cakera padat lama yang pernah dirakamnya serta beramah mesra bersama peminat.

Turut menjadi perhatian, pastinya pelakon meningkat naik Amar Bahrin yang kini menjadi tarikan peminat menerusi lakonan mantap dalam drama bersiri Suamiku Encik Sotong.

Amar yang melakonkan watak Izhan itu hadir sendirian tanpa ditemani pelakon gandingannya yang lain.

Mesra melayan peminat, Amar ternyata menggunakan peluang berada di gerai HM/MA sekitar jam 5.30 petang itu sebaik mungkin untuk berkongsi perkembangan kariernya.

Selain itu, penyanyi baru Syamin yang kini bernaung di bawah Wake The Baby Records tampil mempromosi single sulungnya Lagi Dan Lagi.

Kehadiran Amelina, Amar dan Syamin selama 15 minit ternyata berbaloi buat pengunjung yang terus setia memberi sokongan.

Terdahulu, sesi ramah mesra artis dan peminat pada hari Sabtu juga menarik perhatian dengan kemunculan bakat baru di persada seni tanah air.

Antara bakat baru yang meluangkan masa mendekati peminat di gerai Harian Metro/Metro Ahad ialah kumpulan Chamistry, Ali' Din, Izzmad Harun dan Hudza Mohamad.

Tidak ketinggalan, memeriahkan aktiviti pada petang itu ialah Syasya Idola Kecil, Ikhwan Fatana, Redza Hamid, Emmet Azmir dan Syed Nazrul.

Selain beramah mesra dan bergambar dengan peminat, peluang turut digunakan artis baru ini dengan mengedarkan album dan single cakera padat masing-masing.

Kemeriahan Sabtu juga dimantapkan dengan persaingan pertandingan karaoke yang sesi pendaftarannya pada jam 11 pagi dan saringan peserta bermula jam 1 petang.

Dengan penyertaan menggalakkan, seramai 30 peserta bertanding dan hanya 10 orang saja yang layak bersaing di pentas final pada jam 3 petang.

Diadili juri terdiri daripada wartawan RAP, Norhadiani Baharom dan Georgie Joseph, juara karaoke menjadi milik Rosiah Baharuddin yang menerima hadiah RM800.

Bagi tempat kedua pula dimenangi Zarith Sachada Mohd Yassin dengan hadiah RM500 dan ketiga, Roseli Ibrahim (RM300).

Rosiah yang menonjolkan bakat nyanyian mantapnya sejak saringan, mendendangkan lagu popular Shima, Setelah Aku Kau Miliki.

Manakala, pada acara final, Rosiah muncul menyanyikan lagu Melara Jiwa dendangan Ziana Zain dan lagi dua lagu pula atas permintaan peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:01 AM