KUMPULAN penentang Bashar menaiki kereta kebal di sebuah akademi tentera yang mereka tawan di Aleppo. - Reuters
AFP

Beirut: Lebih 500 penentang dan tentera Syria terbunuh dalam pertempuran untuk menguasai Aleppo, bandar di utara Syria, sepanjang minggu lalu.

Kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria berkata, ia tidak dapat memberi angka sebenar, tetapi kebanyakan yang terbunuh ialah penentang kerajaan Bashar Assad yang menjadi sasaran serangan udara rejim itu dan juga Russia.

Ketua kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman berkata, sekurang-kurangnya 130 orang awam juga terbunuh sejak Ahad lalu, kebanyakannya akibat serangan kumpulan penentang di daerah yang dikuasai kerajaan.

Dalam kejadian semalam, sekurang-kurangnya tujuh orang awam mati apabila kediaman mereka di Hamdaniyeh dibom kumpulan penentang.

Sementara itu, tentera Syria semalam berusaha mematahkan serangan besar-besaran kumpulan penentang yang menyasarkan serangan di selatan Aleppo.

Kumpulan Jabhat Fateh al-Sham yang dulu dikenali sebagai Barisan Al-Nusra berjaya menawan tiga akademi tentera di kawasan berkenaan, membolehkan mereka menguasai laluan penting yang digunakan tentera Syria untuk ke Aleppo, sekali gus memecahkan kepungan askar kerajaan di bahagian timur.

Menurut Rami, kemaraan Jabhat Fateh menempatkan tentera kerajaan dalam keadaan sukar walaupun mereka memperoleh sokongan udara daripada tentera Russia.

“Siapa yang memenangi pertempuran ini akan menguasai Aleppo,” katanya.

Perang saudara yang berlaku di Syria sejak 2011, bermula dengan tunjuk perasaan antikerajaan, sehingga ini sudah menyebabkan 280,000 orang terbunuh dan memaksa separuh penduduknya meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari tempat lebih selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 10:53 AM