VOLKSWAGEN Golf dipertingkatkan.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Ciri dipertingkatkan pada model Volkswagen Golf ini ternyata memberi nilai terbaik kepada sesiapa yang memilikinya.

Ini kerana Volkswagen Malaysia masih meletakkan harga yang lebih rendah, lantas berbaloi andai dimiliki dalam segmen kenderaan kompak premium.

Bagi varian Golf 1.4 Highline dipertingkat, ia hadir dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan butang menghidup enjin (KESSY).

Teknologi itu membolehkan pemandu menghidupkan enjin dengan hanya menekan butang tanpa perlu memasukkan kunci ke dalam ruang pencucuhan sebagaimana model terdahulu.

Ia juga dilengkapi ciri tambahan yang berguna seperti Bantuan Parkir dan Bantuan Rehat pula meningkatkan pengalaman pemanduan secara keseluruhannya.

Ciri itu membolehkan kereta parkir sendiri dengan hanya menekan satu butang tetapi pemandu perlu menekan pedal minyak.

Sementara itu, sistem pengesan kepenatan yang canggih boleh mengesan tahap penumpuan pemandu dengan menilai penggunaan pedal dan stereng secara pintar.

Reka bentuk luarannya juga dinaik taraf dengan menggunakan rim Madrid bersaiz 17 inci supaya tampil lebih menarik, malah menawarkan pemanduan stabil.

Dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan, lampu belakang LED dipasang supaya lebih mudah dilihat di atas jalan raya.

Golf yang dipertingkatkan itu juga menawarkan pemanduan sporty melalui tempat duduk sports bersama material ‘Mel Stripe’ untuk ‘cengkaman’ lebih baik.

Kuasa enjin petrol empat silinder pancitan terus 1.4L TSI pengecas turbo dipertingkatkan menjadi 150PS, naik sebanyak 10PS berbanding model terdahulu. Kuasa tork maksimumnya pula ialah 250Nm yang boleh dicapai pada putaran enjin serendah 1,500rpm hingga 3,500rpm.

Ia kemudian dipadankan kotak gear Direct Shift Gearbox (DSG) tujuh kelajuan yang membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 8.2 saat dengan pecutan maksimum 216km/j.

Penggunaan teknologi enjin TSI dan DSG memberikan penjimatan bahan api dengan mencatat lima liter bagi setiap 100 kilometer.

Golf dipertingkatkan didatangkan dengan dua varian iaitu Highline dan Comfortline yang masing-masing dijual bermula RM159,888 serta RM149,888 seunit, tidak termasuk insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:04 AM