MOTOSIKAL lengkap dengan aksesori Givi.

Givi Asia Sdn Bhd menyumbang peralatan aksesori kembara motosikal bernilai melebihi RM13,000 kepada peserta Ekspedisi Kembara Musafir Haji, ‘Ride to Hajj 2016’.

Pengembaraan sejauh 13,500 kilometer (km) itu akan mengambil masa antara 35 hingga 40 hari, merentasi sembilan negara iaitu Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi sebelum dijangka tiba di Makkah pada 3 September ini.

Lima peserta terbabit adalah bekas juara Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Wazi Abdul Hamid, 45; Meor Azhar Meor Raflan, 43; Napiah Mat Noor, 50; Othman Darus, 49 dan Azman Baharuddin, 52.

Menyedari perjalanan yang bakal ditempuh begitu mencabar dan banyak rintangan, Givi melengkapkan Modenas GT128 dengan pelbagai peralatan aksesori kembara membabitkan kotak belakang kapasiti besar 43 liter serta kotak bahagian sisi.

Kotak kapasiti besar itu ternyata memberi manfaat untuk membawa banyak barangan. Pada masa sama, Givi juga menyumbang topi keledar, beg dan baju hujan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Givi Asia Sdn Bhd, On Hai Swee berkata, Givi ialah jenama sinonim dengan motosikal dan eksplorasi sekali gus sesuai untuk ekspedisi berkenaan.

“Kami berharap dengan tujuan yang sangat murni ini, peserta ekspedisi akan berjaya menamatkan misi mereka walaupun pelbagai rintangan yang sudah pasti bakal ditempuhi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:02 AM