Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikurangkan sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menjadikannya kepada 3.0 peratus dijangka merangsang kuasa beli pengguna, sekali gus mengukuhkan kembali sektor hartanah.

Kadar 3.0 peratus dianggap sebagai kos asas duit itu sendiri dalam sistem kewangan sedia ada dan daripada peratus itu akan dimasukkan kos lain oleh bank dagangan sehingga menjadi kadar asas.

Seterusnya, bank komersial akan membuat kiraan yang kompetitif berapakah kadar berdaya saing yang mampu ditawarkan kepada pelanggan.

Perunding Hartanah DeOne Properties, Shazali Ahmad berkata, OPR yang rendah itu juga akan mengaktifkan aktiviti jual beli, berikutan separuh pertama tahun ini menampakkan pergerakan yang agak perlahan terutama bagi produk aset seperti rumah, kereta dan lain-lain.

Katanya, orang ramai perlu mengambil peluang dengan penurunan OPR ini kerana langkah yang diambil BNM ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai berbelanja dengan mendapatkan pinjaman, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi terutama dalam pasaran hartanah.

“Sebenarnya penurunan OPR tidak memberi kesan terlalu besar kepada industri hartanah kerana nilai harga hartanah tetap akan naik dari semasa ke semasa. Namun, ia memberi kesan kepada peminjam untuk membeli hartanah kerana kadar OPR mempengaruhi faedah (jika bank konvensional) atau kadar untung (jika perbankan Islam) yang diambil atau dikenakan kepada pelanggan masing-masing.

“Walaupun OPR adalah salah satu cabang polisi kewangan yang kecil dalam memberi kesan kepada pembelian rumah, diharap ia dapat memberi impak kepada peningkatan pembelian rumah di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah 2015 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), pasaran hartanah keseluruhan perlahan pada 2015 berbanding 2014.

Penurunan sebanyak 5.7 peratus kepada 362,105 transaksi daripada 384,060 transaksi dan nilai turun sebanyak 8.0 peratus kepada RM149.9 bilion daripada RM162.97 bilion.

Nisbah kelulusan pinjaman kepada permohonan ialah 50.2 peratus dan daripada 206,031 permohonan hanya 103,412 yang mendapat kelulusan dan menunjukkan hanya separuh sahaja yang layak mendapat pinjaman.

Shazali berkata, terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi peningkatan atau penurunan pembelian rumah, antaranya terhangat sekarang ini ialah rekod CCRISS yang tidak baik terutamanya peminjam PTPTN, kad kredit, pinjaman peribadi dan juga pinjaman kereta.

Beliau berkata, kelebihan apabila OPR diturunkan ialah pada peminjam bank, bagi produk seperti rumah, kereta, aset dan sepertinya kerana kadar faedah yang dikenakan juga akan turut sama turun.

“Bagaimanapun, pada pendapat saya, orang ramai tidak perlu menunggu lagi jika sudah mempunyai modal pendahuluan dan juga bayaran guaman untuk terus membeli rumah tetapi dengan syarat anda boleh dapatkan pinjaman.

“Walau keadaan ekonomi teruk atau baik, nilai sesebuah hartanah secara amnya akan meningkat. Jika tunggu lagi mungkin akan menjadi sukar untuk membeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 9:36 AM