PEMAIN Nigeria Ezekiel (kanan) melepasi penjaga gol Jepun Kushibiki.

Rio de Janeiro: Skuad bola sepak Nigeria tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keletihan ketika menewaskan Jepun 5-4 kelmarin, walaupun pemain mereka tiba di Brazil hanya beberapa jam sebelum perlawanan.

Salah faham yang berlaku di lapangan terbang memaksa Nigeria mengambil penerbangan lewat malam dari Atlanta ke Brazil. Pasukan itu tiba di Manaus enam jam sebelum perlawanan namun pantas mengatasi pelbagai masalah termasuk cuaca panas di bandar Amazon itu untuk memenangi perlawanan berkenaan.

Jurucakap pasukan memuat naik gambar mereka berlepas di Twitter dengan ucapan ‘kami akan menaiki pesawat’ dan kemudian gambar pemain melepasi pemeriksaan imigresen serta mengambil bagasi.

Nigeria berdepan situasi kurang menyenangkan apabila menghabiskan masa dalam penerbangan melebihi enam jam dan bertemu Jepun yang sudah beberapa hari tiba di Brazil.

Pasukan itu akhirnya berlepas menggunakan jet Delta yang disewa khas. Jurucakap Delta Air Lines yang berpangkalan di Atlanta menjelaskan mereka membantu pasukan itu tiba ke destinasi secara percuma selepas mendapati ia berpunca daripada isu penerbangan.

Kebiasaannya, pesawat itu digunakan untuk pasukan NBA dan menerbangkan pasukan bola keranjang lelaki Amerika Syarikat (AS) kembali ke negara mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 6:21 AM