BUAH tangan terbaru L’Zzay ketengahkan muzik etnik Punjabi.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Sebelum ini, nama L’Zzay pernah dikenali menerusi lagi Joget Selfie Raya yang popular pada Syawal tahun lalu.

Tahun ini, L’Zzay kembali lagi dengan lagu duetnya bersama Noraniza Idris berjudul Mohon Terasa dan bakal muncul dengan single ketiga yang mempunyai konsep lebih unik.

“Bermula dengan Joget Selfie Raya, ramai yang mula meminta saya mempersembahkan lagu berkonsepkan etnik.

“Dari situ, saya bergabung dengan Noraniza dan alhamdulillah, respons untuk lagu Mohon Terasa sangat menggalakkan. Untuk buah tangan seterusnya, saya masih mengekalkan gabungan etnik dan urban. Kali ini, memilih untuk mengetengahkan etnik Punjabi,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihannya itu, L’Zzay yakin masih ramai pendengar Malaysia meminati muzik ala Hindustan.

“Kalau dilihatkan, ramai peminat muzik di Malaysia yang menggemari lagu Hindi. Lihat saja filem Dilwale, lagunya menjadi siulan ramai.

“Dari situ, timbul idea untuk saya mengetengahkan lagu etnik Punjabi, tetapi pada masa sama menyuntik elemen moden untuk disesuaikan dengan zaman,” katanya.

L’Zzay atau nama sebenarnya Ammalina Affandi berkata, dia belum mempunyai judul untuk lagu baru ini.

Setakat ini dia sudah mencadangkan beberapa judul dan dia bersama pihak pengurusan kini dalam proses memilih.

“Saya akan meneruskan konsep sindiran manja dalam judulnya. Dua single sebelum ini saya menyelitkan elemen sarkastik yang dekat dengan pendengar dan untuk single seterusnya ini saya akan teruskan konsep sama,” katanya.

Bercerita mengenai tempoh lapan tahun bergelar anak seni, L’Zzay mengakui namanya belum cukup kukuh, namun tidak mahu mengeluh.

“Saya tidak nafikan, dalam tempoh lapan tahun bergelar anak seni, ada naik turunnya. Pernah terdetik dalam hati saya untuk berputus asa, namun saya sentiasa memotivasikan diri dan berbalik kepada tujuan asal untuk menjadi pencipta lagu.

“Memandangkan karier seni saya tidak serancak yang dijangka pada awalnya, saya memilih untuk bekerja sambil berkarya. Tidak mahu membuang masa, saya juga dapat mencari pendapatan di samping melabur untuk karier seni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 5:03 AM