Afdlin anggap perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku.
Ridzuan Abdul Rahman & Syanty Octavia Amry
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit Afdlin Shauki mahu memboikot Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 tahun ini berikutan kecewa dengan keputusan penganjur mengasingkan kategori Filem Terbaik yang menyaksikan filem pecah panggung Ola Bola diletakkan dalam kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia hanya kerana ia tidak menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya.

Afdlin meluahkan kekecewaannya itu menerusi akaun Instagram miliknya dengan memuat naik status ‘Minta maaf tahun ini saya boycott FFM’.

Selain Afdlin, beberapa penggiat filem turut meluahkan rasa terkilan berhubung perkara itu sebaik keputusan pencalonan akhir diumumkan dalam satu sidang media, kelmarin.

"Kita hendak pupuk perpaduan dalam negara seperti mana laungan 1Malaysia, tetapi mengapa pencalonan itu perlu diasingkan hanya kerana ia tidak menggunakan 100 peratus Bahasa Malaysia.

“FFM adalah anugerah untuk pembikin filem Malaysia. Kalau rasa hendak buat pengasingan itu baik wujudkan saja Festival Filem Bahasa Malaysia atau wujudkan beberapa festival lain dalam bahasa lain," katanya.

Afdlin berkata, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana apabila sesebuah filem itu diiktiraf di luar negara yang mendapat nama ialah Malaysia dan bukan Melayu.

Selain Ola Bola yang mencatat kutipan RM15.9 juta, turut disenaraikan dalam kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia di FFM yang akan berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Konvensyen Centre (KLCC) pada 3 September ini ialah Jagat, Maravan, Huat The Fish dan The Kid From The Big Apple.

Kategori Filem Terbaik pula membariskan filem Munafik, Polis Evo, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit, Jejak Warriors dan Nota.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam yang juga bertanggungjawab terhadap proses penjurian berkata, pihaknya tidak berkecil hati dengan kenyataan Afdlin itu kerana menghormati prinsipnya, namun meminta Afdlin menghormati identiti kebangsaan.

"Itu hak dia dan saya tidak mahu komen, cuma saya minta dia menghormati identiti kebangsaan kita.

"Tidak timbul soal perkauman dalam isu ini kerana Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan. Jangan korbankan nilai kita dengan menghalalkan cara," katanya kepada Harian Metro.

Yusof berkata, syarat-syarat penyertaan FFM menetapkan filem yang diletakkan dalam kategori Bahasa Malaysia perlulah menggunakan Bahasa Malaysia sebanyak 70 peratus di dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 8:12 PM