Pengumuman mengenai setem cukai rokok oleh JKDM
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Mulai 1 Oktober ini, semua pengilang rokok tempatan wajib menampal setem cukai rokok pada kotak rokok mereka.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam kenyataan hari ini berkata, tempoh peralihan penggunaan setem cukai rokok akan dilakukan secara berperingkat bermula 1 Ogos hingga 30 September ini.

Menurutnya, kotak-kotak rokok yang ditanda dengan cetakan dakwat keselamatan hanya dibenarkan berada di pasaran sehingga 31 Mac 2017 dan selepas tarikh itu, pihak pengilang hendaklah menarik balik semua kotak rokok yang belum dijual daripada pasaran.

"Sekiranya pihak pengilang gagal berbuat demikian, pihak jabatan boleh merampas rokok-rokok tersebut dan pengilang boleh disabitkan di bawah Seksyen 74, Akta Eksais 1976 dan Seksyen 89, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

"Tujuan penggunaan setem cukai rokok untuk rokok keluaran tempatan adalah bagi mematuhi standard antarabangsa dengan menggunakan setem cukai bagi tujuan kutipan duti eksais rokok.

"Ia juga dilaksana sebagai mematuhi garis panduan Rangka Kerja Konvenysen Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia di mana setem cukai rokok dilengkapi dengan keupayaan 'Track and Trace' agar rantaian bekalan tembakau boleh diawasi secara berkesan selain memelihara dan melindungi hasil negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 6:59 PM