GAL
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Aksi mantap Gal Gadot sebagai Wonder Women dalam Batman vs Superman: Dawn of Justice melonjakkan nama aktres jelita itu.

Bekas ratu cantik itu kini diberikan tugasan lebih mencabar dengan membintangi filem solo pertama Wonder Women yang akan menemui penonton pertengahan 2017.

Berbesar hati dengan kepercayaan membawa watak penting itu, Gal, 31, berpendapat pengarah wanita Patty Jenkins adalah pilihan tepat untuk mengemudi karya itu.

“Filem ini berkisarkan seorang gadis berubah menjadi wanita matang kerana itu saya berasakan wanita sesuai duduk di kerusi pengarah apabila boleh menyampaikan kisah Wonder Women dengan baik,” katanya.

Berbanding pengalaman terdahulu, bintang filem bersiri The Fast and the Furious itu berkata komunikasi dan cara kerja sutradara wanita sangat berbeza.

“Sejak menceburi bidang seni, saya hanya bekerjasama dengan pengarah lelaki dan bertuah kerana mereka sangat menghormati wanita.

“Dengan Patty pula, cara kami berkomunikasi berbeza dan banyak menggunakan isyarat mata. Kalau saya sedih, dia juga dapat merasainya.

“Patty bukan sahaja bijak dan tegas, dia juga seorang yang sangat teliti,” katanya.

Biarpun Wonder Women yang turut dikenali sebagai Diana Prince separa manusia dan dewa, Gal berkata watak itu memiliki semua ciri wanita normal.

“Meskipun Diana memiliki kuasa luar biasa, ada kalanya dia beremosi, sentiasa ingin tahu, belas kasihan dan menyayangi orang di sekelilingnya. Dia berjuang demi keamanan dan saya ingin menjadi sepertinya,” katanya.

Wonder Woman adalah rekaan William Moulton Marston, Elizabeth Holloway Marston dan H G Peter, membuat kemunculan sulungnya di edisi kelapan komik All Star Comics pada Disember 1941.

Kisah itu pernah dipaparkan di layar kaca menerusi tiga musim yang bersiaran pada 1975 hingga 1979.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:28 AM