Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Seorang lelaki berusia 44 tahun yang terbabit dalam kes pembunuhan seorang pemandu lori ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, STAFOC menahan lelaki berkenaan di Stesen Komuter Seremban, Negeri Sembilan kira-kira 9.45 pagi ini hasil intipan dan maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, penahan lelaki berkenaan dapat membantu polis melakukan siasatan seterusnya menahan baki individu yang turut terbabit dalam kes bunuh membabitkan seorang pemandu lori di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Temerloh pada 22 November lalu .

"Kita dimaklumkan suspek berjaya ditahan hasil kerjasama STAFOC dengan bantuan Cawangan Jenayah Berat (D9) IbuPejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang melakukan intipan bagi mengesan suspek dipercayai terbabit dalam pergaduhan dua kongsi gelap.

"Suspek yang berasal dari Batu Berendam, Melaka, akan dibawa ke IPK Pahang untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 3:10 PM