GAMBAR fail, Abu Bakar ketika memberi keterangan di mahkamah.
AP

Jakarta: Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan ulama radikal, Abu Bakar Bashir yang dihukum penjara selepas didapati bersalah memberi sumbangan terhadap sebuah kem latihan pengganas.

Pemimpin Jemaah Islamiyah, kumpulan militan yang terbabit dalam serangan bom di Bali pada 2002 itu, memohon semakan kehakiman terhadap hukuman yang disabitkan terhadapnya pada 2011.

Abu Bakar dihukum penjara 15 tahun, tetapi sebuah mahkamah tinggi mengurangkan hukuman kepada sembilan tahun.

Jurucakap Mahkamah Agung, Suhadi semalam berkata, rayuan itu ditolak barisan tiga panel hakim dengan hukuman asal terhadapnya dikekalkan.

Katanya, semakan kehakiman itu gagal mengemukakan bukti baru.

“Mahkamah juga tidak menemui sebarang kesalahan atau kesilapan dalam keputusan sabitan Mahkamah Daerah dan juga Mahkamah Tinggi,” katanya.

Proses rayuan Abu Bakar bermula pada Januari lalu dan sepanjang perbicaraan dia tidak mengaku atau menafikan terbabit dalam merancang serangan di Bali.

Ulama itu memberitahu mahkamah, kem latihan di Aceh itu bagi mempertahankan agama dan orang Islam.

Abu Bakar mengaku kem latihan ala tentera itu melanggar undang-undang berkaitan senjata api, tetapi menegaskan dia menyokong kemudahan itu kerana mematuhi arahan Tuhan.

Kem itu mengumpulkan militan dari hampir semua kumpulan pengganas yang dikenali di negara berkenaan.

Kumpulan ini didakwa merancang menyerang warga asing di Jakarta dan mahu membunuh beberapa pemimpin termasuk Presiden Indonesia ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 7:31 AM