Ahmad Zahid (tengah) pada sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi ke Thailand hari ini.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Bangkok: Usaha menangani keganasan terutama kumpulan Daish dan isu keselamatan rentas sempadan termasuk penjenayah Malaysia yang bersembunyi di Thailand adalah antara lima perkara utama yang akan dibincangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya esok.

Beliau berkata, kerjasama itu perlu kerana ada dalam kalangan penjenayah Malaysia yang bersembunyi di Thailand sejak pelaksanaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA); Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Ops Cantas 2.0.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, perbincangan turut merangkumi pengukuhan kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand menerusi penubuhan AgensiKawalan Sempadan yang menggantikan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP).

"Kami juga akan berbincang mengenai isu pemerdagangan orang memandangkan Thailand dijadikan negara transit untuk usaha memperdagangkan manusia ke Malaysia.

"Selain itu, kita juga akan menyentuhmengenai pembabitan rakyat Thailand dalam penyeludupan dadah terutama dengan menganggotai sindiket pengedaran dadah,"katanya pada sidang media sempena lawatan kerja dua hari ke Bangkok di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ketika ini terdapat 107 rakyat Thailand yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:09 PM